Rabu, November 14

Salam Muharam

Salam Muharam (^_^)


Muharam adalah bulan yang mulia di sisi Allah taala. Firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”
(At-Taubah 9:36)
An-Nasa’i meriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. katanya: 
“Saya bertanya Nabi s.a.w., malam apakah yang paling afdal dan bulan apakah yang paling afdal?”
 Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): 
“Sebaik-baik malam adalah pertengahannya dan bulan paling afdal ialah Syahr-Allah (bulan Allah), iaitu yang kamu panggil Muharam.” 
Ibn Rajab menambah, maksud Muharam bulan paling afdal yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam Hadis ini ialah bulan yang paling afdal selepas bulan Ramadan.
Hadis lain yang menunjukkan kelebihan bulan Muharam ialah yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: 
“Puasa paling afdal selepas bulan Ramadan ialah bulan Allah yang dimuliakan (Muharam). Dan solat paling afdal selepas fardu ialah solat malam.”
Dalam hadis yang disebut di atas, kita dapati Nabi s.a.w. menisbahkan atau menamakan bulan Muharam ini sebagai bulan Allah. Ia sahaja sudah cukup untuk memberikan gambaran betapa mulianya bulan ini.
Dalam bulan ini telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam, peristiwa datangnya pertolongan Allah memenangkan kebenaran yang dibawa oleh pesuruh-Nya dan tumpasnya kebatilan yang cuba dipertahankan oleh musuhnya.
Antara peristiwa penting itu ialah Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. serta kaumnya daripada ancaman Firaun yang zalim, manakala Firaun serta pengikutnya mati lemas dalam keadaan yang hina.
Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan, apabila Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya mengapa mereka berpuasa pada hari tersebut. Mereka menjawab, “10 Muharam adalah hari berlakunya peristiwa besar di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan kaumnya serta melemaskan Firaun dan pengikutnya. Musa telah berpuasa pada hari ini (10 Muharam) sebagai tanda bersyukur, maka kami pun ikut berpuasa.”
Mendengar jawapan itu, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): 
“Maka kita (umat Islam) lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kamu (orang Yahudi).” Ibnu ‘Abbas menambah, maka Nabi s.a.w. berpuasa dan menyuruh umat Islam berpuasa.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah hadis yang sama dengan menambah:
 “Hari itu (10 Muharam) juga merupakan hari mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judi. Maka Nuh berpuasa sebagai tanda syukur.”

Dipetik daripada:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan