Isnin, April 9

Usaha Tunaikan Janji

Imam al-Bukhari menyebut dalam sahihnya bahawa seorang daripada Bani Israel pernah meminta kepada seseorang daripada Bani Israel yang lainnya untuk meminjamkan wang sebanyak 1000 dinar. 


Orang yang memberi pinjam itu berkata:

"Adakah anda mempunyai saksi?"

"Saya tidak mempunyai saksi selain Allah" jawab si peminjam.

Yang memberi pinjam lalu berkata, "Cukuplah Allah sebagai saksi"

"Adakah anda mempunyai penjamin?"

"Saya tidak mempunyai penjamin kecuali Allah" jawab si peminjam.

Dengan tegas yang memberi pinjam berkata, "Baik, cukuplah Allah sebagai pelindung"


Kemudian, wang 1000 dinar pun dipinjamkannya dan yang memberi pinjam pun berlalu pergi selepas keduanya menyepakati waktu dan tempat penyerahan nanti. Tempat tinggal mereka berdua dipisahkan oleh sebatang sungai. Pada waktu yang telah ditetapkan, si peminjam pun tiba di tepi sungai dengan membawa wang pinjaman yang ingin dikembalikannya. Dia menunggu seharian tetapi tidak ada satu perahu pun yang lalu. 

Malam pun menjelma. Namun, satu perahu pun tidak ada yang muncul. Dengan penuh pengharapan, dia pun memohon pertolongan Allah.

"Ya Allah, dia meminta kepadaku saksi namun tidak aku peroleh selain engkau. Dia juga meminta kepadaku penjamin, namun tidak juga aku peroleh selain engkau. Ya Allah, sampaikanlah surat ini"

Si peminjam tadi pun mengambil sepotong kayu lalu dibelahnya kemudian dimasukkannya semua wang 1000 dinar itu ke dalam kayu tersebut. Di dalamnya juga dia menyatakan surat. Selepas itu, kayu tersebut dicampakkan ke dalam sungai. Dengan izin kebaikan dan bantuan Allah dia sangat berharap agar kayu tersebut bergerak menuju ke seberang.



Pada masa yang sama, yang memberi pinjam juga sedang menunggu janji sahabatnya itu. Dia berdiri di tepi sungai dengan harapan sahabat yang meminjam wangnya itu muncul. Sebaliknya, tidak ada seorang pun yang datang. Tiba-tiba dia melihat kayu api terapung di tebing sungai. Hatinya berkata, "Mengapa tidak aku mengambil kayu api itu untuk kegunaan keluargaku di rumah"

Lalu kayu api itu dibawanya pulang ke rumah. Setibanya di rumah, ikatan kayu api tersebut dibukanya dan ternyata di dalamnya terdapat wang 1000 dinar dan sepucuk surat daripada sahabat yang ditunggunya itu.

Kerana saksinya ialah Allah, maka Allah pun menolongnya dan kerana yang melindunginya ialah Allah, maka Allah juga melindunginya. Maha Tinggi Allah.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 122:

Maksudnya: Dan jika sudah demikian kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.



-Dian Adni-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan