Ahad, April 15

Nasihat Melalui Teladan

Sedarkah kalian dan setujukah kalian jika aku berpendapat bahawa, kesilapan yang sering kita lakukan ialah... kita sibuk mentarbiyah orang lain dengan harapan untuk membawanya ke jalan kehidupan yang bercorak islami, SEDANGKAN ahli keluarga kita sendiri masih berada di jalan kejahilan. Sebaik-baik.y tarbiyah itu kita mulakan di rumah, dalam kalangan ahli keluarga kita sendiri, bukan sahaja keluarga kecil malah keluarga besar. Jika setiap keluarga mengamalkannya, maka proses DAKWAH itu sebenar.y menjadi lebih mudah.


Berdasarkan pengalaman, aku terpanggil untuk berkongsi cerita tentang topik ini. Ceritanya mudah, dahulu semasa aku masih berpengetahuan jahil, banyak kali juga aku ditegur agar berubah tapi tidak dinasihatkan untuk berubah. Perasaan tak perbezaan yang ada di situ? Pengetahuan jahil yang aku maksudkan ialah seperti orang lain aku juga ada pengetahuan berkaitan hukum-hakam agama tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya kerana kurangnya kefahaman yang mendalam. Oleh itu, sebelum ini corak kehidupan itu tidaklah bersifat islami secara keseluruhannya. Sebagai contoh, seperti yang aku pernah ceritakan dahulu walaupun aku sudah mula bertudung tetapi sebenarnya aku tidak menutup auratku dengan sempurna.

Baik, kenapa aku katakan banyak kali juga aku ditegur agar berubah dan bukannya dinasihatkan untuk berubah? Kerana... kebanyakan orang yang ingin menyedarkan aku itu sekadar menegur contohnya "jangan pakai seluar ketat-ketat kalau bertudung." "kalau dah bertudung jangan pakai baju lengan pendek." "jangan suka aktiviti-aktiviti hiburan, semua tu lagho" dan semuanya JANGAN, JANGAN, dan JANGAN. Bagiku itu adalah teguran dan larangan bukan pendekatan nasihat. Kebanyakannya teguran melalui perkataan bukan teguran melalui perbuatan mereka. Lebih-lebih lagi pada ketika itu, aku juga mempunyai egoku sendiri. Maka, aku pun mencari setiap kelemahan mereka yang sedia ada walaupun dalam hati aku sebenarnya tahu akan kesilapan itu.

Pemerhatian demi pemerhatian, akhirnya aku dapat simpulkan bahawa mereka yang menegur  aku itupun sebenarnya 2x5 sahaja dengan aku. Kenapa? walaupun mereka dengan baik hati menegurku agar berubah dan mengamalkan kehidupan islami tetapi mereka juga tidak sepenuhnya mengamalkannya. Walaupun mereka bertudung labuh, berjubah tetapi boleh juga terlajak subuh, aktif juga bersms dengan yang namanya lelaki, dan tingkah laku mereka masih juga mudah untuk huhahuha dengan rakan-rakan lelaki lain, masih juga bermasalah dari segi akademik, dan yang paling nyata ahli keluarganya tidak semuanya mengamalkan corak kehidupan islami. Oleh itu, tidak keterlaluan untuk aku katakan bahawa kebanyakan teguran mereka itu sekadar teguran perkataan, dan bukannya seiring dengan teguran perbuatan.

Walau bagaimanapun, aku sebenarnya berterima kasih juga kepada mereka yang pernah menegurku apa lagi setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka yang telah menasihati. Namun, ingin aku katakan bahawa... sebaik-baiknya tarbiyah itu kita mulakan dari rumah, dalam kalangan ahli keluarga sendiri, sebelum kita keluar untuk mentarbiyah orang lain atau dalam bahasa mudahnya, selamatkanlah imanmu dan ahli keluargamu dahulu, baru kau selamatkan iman orang-orang di sekitarmu.

Hari demi hari, kematangan itu semakin terpatri utuh, pengetahuan itu semakin luas, dan kesedaran itu juga semakin menebal. Ditambah pula selepas melihat contoh-contoh teladan yang mendorongku untuk termasuk dalam golongan tersebut, aku semakin terpanggil untuk melakukan perubahan diri, mengubah kehidupan kepada kehidupan yang bercorak islami. Aku tidak pernah lagi mendengar perkataan JANGAN, JANGAN, dan JANGAN tetapi aku puas melihat perbuatannya sehari-hari. Bermula seawal subuh hinggalah segelita malam.  

Subuh, dhuha, zuhur, asar, maghrib, isyaknya lengkap, lain lagi dengan solat sunatnya. Lain lagi dengan puasa isnin khamisnya. Lain lagi dengan pemahaman fesyen muslimahnya. Walaupun memegang konsep muslimah tetapi boleh juga berselendang tapi mesti dipastikan bhgn depan dan belakang itu melepasi dada. Mereka juga menonton movie, tapi movie-movienya kebanyakannya bersifat islami dan bukannya hanya menghadap cerita korea yang tidak ada putus-putusnya. Latar belakang ahli keluarganya juga semua mengamalkan corak hidup islami dan jika bertelefon mereka saling ingat-mengingati. Semua itu ditunjukkannya melalui perbuatan, bukan sekadar perkataan. Subnaallah... sangat bersyukur. 

Untuk menasihatkan agar aku menutup aurat dengan sempurna, diberikannya aku gambar-gambar kartun muslimah yang comel-comel, yang budak-budak pun suka. Untuk rajin mengaji, diberikannya aku rahsia di sebalik surah-surah yang baik diamalkan. Untuk rajin solat diberikannya aku rahsia di sebalik menunaikan solat. Tidak pernah pun aku mendengar perkataan JANGAN, JANGAN, dan JANGAN. Selain itu, hidupnya juga penuh sistematik, pengurusan hariannya terancang dan tersusun, kerjanya tidak ada yang bertangguh tidak kira kerja-kerja tugasan mahupun kerja-kerja rumah, cakna akan kebersihan, dan keputusan akademiknya juga cemerlang. 

Subhanallah... semua ini barulah namanya nasihat melalui teladan. Sehingga kini, sangat-sangat berterima kasih diperlihatkan insan yang benar-benar membantu aku untuk melakukan perubahan. Syukran...ya Rabb. Semoga suatu saat nanti aku memiliki sahabat yang benar-benar membantu aku dalam mengukuhkan keimananku kepada-Mu (^_^)




-Dian Adni-



Tiada ulasan:

Catat Ulasan