Rabu, Mac 21

Yang Kusayang


Ibu dan bapa kita ibarat permata yang berharga, yang tidak boleh ditukar ganti, tidak boleh dijual beli, dan tidak boleh didapatkan kembali.


Hasil daripada merekalah aku lahir ke dunia, menikmati kehidupan yang sementara, mengharungi jalan-jalan dunia yang banyak persimpangannya.


Aku sangat bahagia melihat mereka bersama. Makan bersama, menonton tv bersama, keluar bersama, membeli belah bersama, dan kerja pun bersama. Pada kiraanku sangat romantik seperti orang muda-mudi. 

Bapa. Bapa seorang yang aku kira agak segak. Walaupun pada usianya kini, bapa tidak kelihatan seperti sudah berumur kerana bapa sangat menjaga penampilannya. Benar, semuanya akan dipastikan kemas dan teratur. Bapa juga seorang yang sangat mementingkan hubungan. Hubungannya dengan ahli keluarga, hubungannya dengan rakan-rakan, hubungannya dengan sekeliling. Namun, bapa juga seorang yang tegas. Jika bapa kata JANGAN, TIDAK BOLEH, maka aku pun kecut perut untuk membantah. Pada kiraanku bapa juga seorang yang kreatif dan mahir dalam seni bina, pertukangan, lukisan, dan jahitan.

Mak. Mak seorang yang sangat memahami. Oleh itu, maklah tempat aku untuk berkongsi cerita itu ini, bergosip itu ini, tempatku berbincang dan merujuk sebelum membuat apa-apa keputusan. Untuk membeli sesuatu pun aku akan merujuk mak dahulu. Satu kebiasaan. Mak sangat kreatif orangnya. Mak juga sangat berbakat dalam gubahan, jahitan, dan masakan. Mak jarang marah, tapi apabila mak dah marah memang aku tak berani nak buat apa. 

Jika difahami kedua-dua ciri yang ada pada mak dan bapa, terdapat banyak persamaan yang membuatkan mereka nampak padan dan serasi. Mereka juga mempunyai minat yang sama. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka banyak menghabiskan masa bersama untuk aktiviti yang sama. 

Sesungguhnya, aku sangat bertuah kerana mempunyai mak dan bapa seperti mereka dan kerana itu juga aku sangat takut untuk kehilangan mereka. Kasih sayang mereka, perhatian mereka, tidak sama dengan mana-mana ibu bapa yang lain, yang langsung tidak boleh ditukar ganti.


Ya Allah... Ampuni aku dan kedua ibu bapaku serta kasihani keduanya sebagaimana mereka mengasihaniku semenjak kecil. 


Wahai tuhanku... ilhamkan aku supaya tetap betsyukur atas segala nikmat pemberian yang dikau kurniakan kepadaku dan kedua ibu bapaku. Ilhamkan aku supaya terus mengerjakan amalan soleh yang dikau redhai. Semaikan sifat-sifat kebaikan supaya ia meresap ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Aku bertaubat kepada-Mu ya Allah kerana aku patuh kepada segala perintahmu.

AMIN...


-Dian Adni-




Tiada ulasan:

Catat Ulasan