Jumaat, Mac 30

Manfaat Ilmu




Keluasan ilmu agama dan perhatian yang mendalam terhadap Sunnah Rasulullah S.A.W, dengan izin Allah, telah membuka rahsia alam Malakut kepada Abd Qadir al-Jilani. Beliau telah sampai ke martabat, iaitu perbezaan antara hak dan batil, ilham illahi dan bisikan syaitan, telah menjadi perkara yang sejati dengan jiwanya. Beliau telah memperoleh ilmu Yaqin bahawa syariah Nabi yang terakhir  adalah sempurna dan tidak boleh diubah, dan apa juga bentuk dakwaan yang berlawanan dengan hakikat tersebut adalah bisikan syaitan semata-mata. Abd Qadir sendiri ada menyebut suatu peristiwa yang berlaku kepada dirinya.

Beliau berkata:

"Pada suatu ketika, saya ternampak suatu cahaya terang benderang yang memenuhi seluruh langit. Kemudian, suatu bentuk manusia kelihatan di dalamnya dan manusia itu berkata:

"Wahai Abd al-Qadir, akulah Allah, Tuhanmu. Aku telah menghalalkan segala perkara yang haram bagimu."

Abd al-Qadir menjawab:

"Berambuslah wahai syaitan"

Sebaik sahaja Abd al-Qadir berkata sedemikian, cahaya langit bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap. Kemudian terdengar seseorang berkata:

"Wahai Abd al-Qadir, aku telah menyesatkan 70 Ahli al-Sufi dengan cara ini, tetapi Allah telah menyelamatkan kamu disebabkan ilmu dan taqwamu"

Mendengar sahaja suara itu, Abd al-Qadir pun menjawab:

"Tidak. Itu cuma rahmat Allah S.W.T"

Sesudah Abd al-Qadir menceritakan peristiwa tersebut, salah seorang pendengar bertanya:

"Bagaimana kamu tahu bahawa itu adalah syaitan?"

"Ketika dia berkata bahawa dia telah menghalalkan bagi aku perkara yang haram" jawab Abd al-Qadir.

Abd al-Qadir selalu memberitahu murid-muridnya bahawa apa-apa amalan yang bercanggah dengan suruhan Allah, maka sudah tentu itu adalah amalan syaitan. Oleh yang demikian, hendaklah seseorang kembali kepada ajaran syariat, mengukuhkan iman, dan melawan kecenderungan nafsu dengan bersungguh-sungguh. Apa juga yang tidak dibenarkan oleh syariat sudah tentu menyesatkan.


-Dian Adni-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan