Jumaat, Mac 9

EDU 3012 : Falsafah & Dasar Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Memperkasa sekolah kebangsaan (SK) telah menjadi salah satu daripada enam agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Hal ini demikian kerana pihak kerajaan secara optimis menganggap sekolah kebangsaan merupakan wadah terbaik untuk memupuk perpaduan, menyemai patriotisme dan semangat integrasi nasional serta dapat mencapai keseimbangan komposisi kaum dalam kalangan pelajar dan guru. Bagi mencapai matlamat pendidikan yang berkualiti, semua organisasi dalam KPM mesti beroperasi secara bersepadu.

Namun demikian, dalam satu kajian yang telah dibuat oleh Jemaah Nazir Sekolah pada tahun 2003, terdapat pelbagai isu dan cabaran yang dikenal pasti sebagai penghalang utama dalam memperkasakan SK. Menurut  Abdullah  Ahmad Badawi (2006) semasa membentangkan usul mengenai RMK-9, 2006-2010 di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006 menyatakan komitmen pihak kerajaan untuk memantapkan lagi usaha ke arah memperkasa SK dengan memikirkan pendekatan-pendekatan yang dapat digunakan agar masalah-masalah yang timbul dapat diatasi.  Menurut Hishammuddin (2006), menyatakan bahawa pihak KPM telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sebagai landasan untuk mencapai matlamat“ Pendidikan Berkualiti Untuk Semua” dan sedikit sebanyak membantu dalam memperkasakan sekolah kebangsaan.


Sejak  sebelum  merdeka,  hasrat  penubuhan  SK telah diilhamkan  oleh  para  pemimpin  negara  sebagai  wahana  untuk  perpaduan  rakyat  pelbagai  kaum.  SK  diharap  dapat  dijadikan  tempat  untuk  generasi  muda  hidup  bermasyarakat,  saling  bekerjasama  antara  satu  sama  lain  serta  melahirkan  rakyat  yang  setia  dan  menyumbang  kepada  kesejahteraan  negara  seperti  yang  dinyatakan  dalam  Ordinan  Pelajaran  1952 ( Pelan  Induk  Pembangunan  Pendidikan : 2007 : KPM ).

      Oleh  itu,  Laporan  Razak  (1956)  telah  ditubuhkan  yang  dijadikan  asas  dalam  Dasar  Pelajaran  Kebangsaan.  Laporan  Razak  mencadangkan  penggunaan  bahasa  Melayu  sebagai  bahasa  pengantar  utama  dalam  sistem  pendidikan  untuk  mewujudkan  sebuah  masyarakat  yang  bersatu  padu.  Bagi  menjadikan  hasrat  ini  sebagai  satu  realiti,  maka  Laporan  Razak  telah  mencadangkan  untuk  mewujudkan  dua  jenis  aliran  bagi  sekolah  rendah  iaitu  SRK  dan  SRJK  dan  menggunakan  bahasa  Melayu  sebagai  bahasa  pengantar  utama  bagi  SRK.  SRK  sebenarnya  ditubuhkan  untuk  mewujudkan  perpaduan  kaum  melalui  penggunaan  bahasa  Melayu  sebagai  bahasa  pengantar  utama.  Bagi  SRJK  pula,  bahasa  Melayu  diwajibkan  diajar  kepada  murid-murid  sebagai  satu  mata  pelajaran  dan  bahasa  pengantar  utamanya  ialah  bahasa  Cina,  bahasa  Tamil,  atau  bahasa  Inggeris.  Perenggan  12,  Penyata  Razak  menyatakan  bahawa :

“ Tujuan  dasar  pelajaran  ini  ialah  bermaksud  hendak  menyatukan  budak-budak  daripada  semua  bangsa  dalam  negeri  ini  dengan  memakai  satu  peraturan  pelajaran  yang  meliputi  semua  bangsa  pengantar  yang  besar,  walaupun  perkara  ini  tidak  dapat  dilaksanakan  dengan  serta  merta  melainkan  hendaklah  diperbuat  dengan  beransur-ansur ” ( Pendidikan  Malaysia-wikipedia,ms.wikipedia.org).

Kenyataan  ini  jelas  membawa  satu  mesej  bahawa  perpaduan  perlu  dipupuk  sejak  di  bangku  sekolah  lagi.  Perpaduan  itu  mungkin  tidak  dapat  dicapai  dalam  masa  yang  singkat  tetapi  perlulah  beransur-ansur  dan  berterusan. Abdullah  Ahmad  Badawi berkata  mengenai  SK  ketika  merasmikan  Konvensyen  Pendidikan  UMNO  Pulau  Pinang  di  Kepala  Batas  pada  25  Januari  2003  berbunyi :

“  Kepimpinan  di  SK  hendaklah  menghalusi  implikasi  senario  ke  arah  polarisasi  sebagai  satu  ancaman  kepada  perpaduan  nasional.  Keyakinan  warga  Malaysia  terhadap  SK  perlu  dipulih  dan  ditingkatkan.  SK  perlu  mempelbagaikan  kegiatan  kokurikulum  yang  melambangkan  kehidupan  masyarakat  Malaysia  yang  berbilang  kaum,  agama,  budaya,  dan  bahasa.  SK  perlu  mewujudkan  persekitaran  budaya  yang  mencerminkan  masyarakat  Malaysia  sebenar.  SK  sepatutnya  merupakan  ‘miniature  reality’  sebuah  negara  Malaysia “( http//:www.scribd.com/Dasar  Pendidikan  di  Malaysia ).

Dalam  PIPP pula,  SK  merujuk  kepada  sekolah  rendah  kebangsaan  dan  sekolah  menengah  harian  yang  menggunakan  bahasa  Melayu  sebagai  bahasa  pengantar.  Sekolah-sekolah  ini  ditubuhkan  sebagai  sekolah  aliran  perdana  bagi  memupuk  perpaduan  rakyat  Malaysia  melalui  sistem  pendidikan ( Pelan  Induk  Pembangunan  Pendidikan : 2007 : KPM ).


Memperkasakan  sekolah  kebangsaan  telah  termaktub  dalam  PIPP  yang  telah  diperkenalkan  oleh  KPM  untuk  memberi  tumpuan  kepada  sekolah  rendah  kebangsaan  kerana  sekolah  ini  mempunyai  peranan  penting  sebagai  tapak  untuk  menyemai  dan  memupuk  perpaduan  antara  kaum  daripada  peringkat  awal  persekolahan  lagi.  Dasar  memperkasakan  SK  diwujudkan  bagi  memastikan  semua  sekolah  rendah  yang  berbahasa  pengantar  bahasa  Melayu  dan  sekolah  menengah  menjadi  pilihan  utama  masyarakat  Malaysia.  Walau bagaimanapun,  terdapat  beberapa  kelemahan  yang  perlu  diatasi  supaya  SK  menjadi  sekolah  pilihan  utama  masyarakat  Malaysia.     

Sehingga  kini,  masih  terdapat  SK  yang  mempunyai  prasarana  kurang  memuaskan,  terutama  di  kawasan  pedalaman.  Selain  itu,  terdapat  anggapan  masyarakat  bahawa  pencapaian  akademik  di  SK  adalah  lebih  rendah  berbanding  sekolah  rendah  aliran  Cina.  Masyarakat  bukan  Bumiputera  juga  menganggap  SK  terlalu  bercirikan  islam  manakala  masyarakat  Islam  pula  mengatakan  sebaliknya.  Bagi  mengatasi  masalah  ini,  KPM  telah  menyediakan  pelan  jangka  panjang  mereka  untuk  memperkasakan  SK  iaitu  menjadikan  SK  sebagai  pusat  kecemerlangan  pendidikan  daripada  semua  segi  seperti  prasarana,  disiplin,  keselamatan  pelajar,  pencapaian  kokurikulum  dan  sukan,  penguasaan  ICT,  kualiti  guru  dan  kepimpinan  sekolah.  Satu  petanda  aras  pula  akan  ditetapkan  bagi  memastikan  agenda  memperkasakan  SK  akan  terus  berada  pada  landasan  yang  betul.  Walaupun  KPM  memberi  penekanan  kepada  usaha  memperkasakan  SK,  namun  SJK  tidak  akan  diabaikan  supaya  pendidikan  kepada  anak  bangsa  Malaysia  di  sekolah-sekolah  itu  terjamin ( Pelan  Induk  Pembangunan  Pendidikan : 2007 : KPM ).

Usaha  untuk  memperkasa  dan  mengatasi  kelemahan  yang  terdapat  pada  SK  akan  diatasi  oleh  KPM  sebaik  mungkin.  Hal  ini  dapat  dibuktikan  melalui  kenyataan  Hishammudin :

“ KPM  akan  berusaha  menjadikan  sekolah  kebangsaan  lebih  beraspirasi  nasional,  meningkatkan  pencapaian  akademik  dan  kokurikulum  pelajar,  membangunkan  budaya  sekolah  yang  cemerlang,  meningkatkan  kualiti  kepimpinan,  pengurusan  guru-guru,  menyeimbangkan  nisbah  guru  daripada  pelbagai  etnik  serta  meningkatkan  penglibatan  dan rasa  kepunyaan  ibu  bapa  serta  komuniti  terhadap  SK ”( Pelan  Induk  Pembangunan  Pendidikan : 2007 : KPM ).

SK  yang  telah  diperkasa  pula  akan  diterajui  oleh  Pengetua  atau  Guru  Besar  yang  mempunyai  ciri-ciri  kepimpinan  yang  berkesan,  mempunyai  kumpulan  guru  yang  terdiri  daripada  pelbagai  kaum  yang  cekap,  terlatih,  komited  bagi  menjamin  budaya  sekolah  yang  sihat  dan  kondusif  serta  dapat  mengeratkan  hubungan  dan  penglibatan  masyarakat,  ibu  bapa,  dan  warga  sekolah.  SK  ini  juga  akan  mempunyai  infrastruktur  yang  lengkap  dan  berkualiti  bagi  melahirkan  pelajar  yang  mempunyai  pencapaian  akademik  dan  kokurikulum  serta  sahsiah  yang  cemerlang (Pelan  Induk  Pembangunan  Pendidikan : 2007 : KPM )

Melalui  usaha  pemerkasaan  SK  ini,  SK  pasti  dapat  mencerminkan  budaya  satu  Malaysia,  memenuhi  cita  rasa  semua  kaum  dan  dapat  menjadi  sekolah  pilihan  utama  masyarakat  di  Malaysia.  Kesannya,  pelajar  yang  berbilang  kaum  dapat  belajar  atau  menimba  ilmu  di  bawah  satu  bumbung,  seterusnya  mereka  ini  dapat  dilatih  hidup  untuk  saling  bekerjasama  dan  mempunyai  semangat  patriotik  serta  toleransi  yang  tinggi  selaras  dengan  aspirasi  nasional (Pelan  Induk  Pembangunan  Pendidikan : 2007 : KPM ).

      Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan pelajar dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam pekerjaan. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke-21 amat jelas sekali. KPM telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat pada hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah untuk memberikan peluang pendidikan yang saksama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup.

Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM 2001), menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan sehingga berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan dalam usaha untuk memperkasakan sekolah kebangsaan, antaranya perkara berhubung dengan struktur pendidikan, akses kepada pendidikan, ekuiti, kualiti tenaga pengajar, ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur, pelaksanaan program PPSMI, dan kurikulum yang kurang relevan. Hal ini selaras dengan pendapat Sufean Hussein (2004) yang menyatakan bahawa terdapat banyak isu pendidikan yang boleh dikategorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.

Akses pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah kebangsaan di bandar dan luar bandar serta sekolah jenis lain. Hal ini juga menyebabkan perisian komputer untuk kemudahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang sesuai sukar diperoleh. Selain itu, guru-guru di sekolah kebangsaan tidak dapat mengendali dan menyelenggarakan sistem komputer dengan baik kerana bilangan guru ICT di sekolah kebangsaan yang belum mencukupi. Oleh sebab itu, isu akses pendidikan ini ditimbulkan dan isu ini menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah kebangsaan akan memperoleh komputer kerana secara tidak langsung akses pendidikan ini membantu setiap murid dan guru celik ICT.

Sebagai contoh, sehingga tahun 2005, program ICT yang telah dilaksanakan KPM adalah seperti Projek Penyediaan Infrastruktur dan Pengkomputeran Sekolah (Makmal Komputer), Penyediaan akses jalur lebar Schoolnet, Projek Rintis Sekolah Bestari, Program Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dan Program TV Pendidikan. Melalui program-program tersebut, KPM telah menyediakan infrastruktur seperti makmal/bilik komputer, perkakasan seperti komputer, komputer riba, projektor LCD dan pelayan bagi P&P serta melatih guru berkaitan ICT. Bagi memperluas penggunaan ICT di sekolah, program Pembestarian Sekolah diperkenalkan dalam RMKe-9 secara berperingkat. KPM mensasarkan semua SK dilengkapkan infrastruktur, peralatan dan perisian yang lengkap dan mencukupi, serta guru dan kakitangan mendapat latihan yang mencukupi untuk memastikan pengintegrasian ICT berlaku dalam P&P dan urusan pentadbiran sekolah. Pelaksanaan pembestarian sekolah merangkumi tiga perkara iaitu Hardware, perkakasan ICT yang dibekalkan ke sekolah seperti Pusat Akses yang berfungsi ala kafe siber untuk menyokong sistem sedia ada seperti makmal komputer sekolah, Courseware pula iaitu perisian kursus dan sistem aplikasi dan Wetware bimbingan dan latihan kepada pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti setempat. Ketiga-tiga perkara ini menjadi pemacu dalam meningkatkan keberkesanan P&P serta pengurusan sekolah.

Ekuiti pendidikan
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan seperti SK di bawah KPM akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia, KPM).

Namun begitu, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah kebangsaan di Malaysia yang belum dapat menikmati kemudahan yang telah dijanjikan. Hal ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang sangat diperlukan di sekolah seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus untuk proses P&P terutamanya sekolah-sekolah kebangsaan di luar bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.

Sebagai contoh, daripada 5761 buah SK pada peringkat rendah, 1642 buah sekolah merupakan sekolah kurang murid (SKM) dan kebanyakannya adalah lama dan daif. Selain itu, daripada keseluruhan bilangan sekolah rendah 1513 buah sekolah tidak mempunyai bekalan air awam, 767 buah sekolah tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan 1639 buah sekolah masih belum mempunyai makmal komputer atau bilik komputer manakala daripada keseluruhan sekolah menengah, sebanyak 28 buah sekolah tiada bekalan elektrik 24 jam dan 68 buah sekolah tiada bekalan air awam. Sehingga tahun 2005, terdapat 5077 (66.8%) buah sekolah rendah 792 (39.0%) buah sekolah menengah di luar bandar. Sekolah rendah dan menengah khususnya di luar bandar masih kekurangan infrastruktur dan kemudahan pendidikan. Terdapat 5951 (78.3%) buah sekolah rendah dan 870 (42.9%) buah sekolah menengah berusia melebihi 30 tahun dan memerlukan penyelenggaraan tinggi.

Tenaga pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam memperkasakan sekolah kebangsaan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Dasar  Pendidikan (BPPDP) KPM, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 peratus orang guru terdiri daripada guru perempuan dan KPM telah menghadapi masalah dalam menempatkan guru-guru ini di sekolah luar bandar khususnya di kawasan pedalaman dan pulau-pulau. Kebanyakan SK di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman dan kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlakunya ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Oleh sebab itu, kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru-guru tersebut juga terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Seterusnya, disebabkan guru-guru tersebut kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek-subjek berkenaan maka kewibawaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.

Sebagai contoh, jumlah keseluruhan guru di sekolah rendah sehingga Jun 2005 adalah seramai 190,336 orang. Daripada jumlah ini, seramai 149,852 berada di SK. Pada peringkat menengah, jumlah keseluruhan guru seramai 136,598 orang. Daripada jumlah ini 122,253 mengajar di SMK harian. Sehingga tahun 2005, jumlah guru siswazah di sekolah rendah adalah seramai 11,539 (6.1%) orang manakala di sekolah menengah pula seramai 112,578 (82.4%) orang. Sasaran KPM adalah untuk memastikan 25 peratus guru di sekolah rendah dan 100 peratus guru di sekolah menengah ialah guru siswazah menjelang 2010. Cabaran KPM adalah untuk menyediakan guru siswazah yang mencukupi melalui program pensiswazahan dan menempatkan guru-guru ini mengikut keperluan opsyen. Selain itu, sebagai salah satu langkah untuk menjadikan SK lebih beraspirasi nasional, KPM mensasarkan penempatan guru daripada pelbagai kaum secara lebih seimbang terutamanya di lokasi yang mempunyai penduduk pelbagai kaum.

Sahsiah Pelajar
Kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi isu dan dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik ke sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke Tingkatan 4 memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada kebanyakan murid tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat merokok dalam kalangan pelajar, gejala vandalisme, melepak, ponteng sekolah dalam kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi. Keadaan ini mencerminkan imej sesebuah sekolah. Sebenarnya, pelajar-pelajar tersebut menyumbang kepada peratusan kegagalan di sekolah dan menyebabkan peratusan prestasi akademik di sekolah menurun.

Ilmu bermakna kuasa. Mereka yang berilmu tetap memiliki kuasa dalam mana-mana masyarakat. Sejak zaman dahulu hingga ke era global kini, ilmu adalah pemisah antara yang berkuasa dan yang dikuasai. Oleh itu, dasar kerajaan untuk memperkasakan SK demi melahirkan pelajar bersatu padu tanpa mengira kaum haruslah diurus oleh guru besar yang cemerlang, murid-murid pula diajar oleh guru yang mahir dan mempunyai  ilmu yang tinggi dan dibantu oleh prasarana dan teknologi yang canggih dan terkini. Selain itu, antara aspek penting yang mesti diberi perhatian dalam usaha mencapai kecemerlangan di SK ialah kesesuaian dan kebolehan tenaga kerja iaitu guru, guru penolong kanan dan guru besar. Mereka perlu berpengetahuan, berkemahiran, cekap dan berdedikasi.

Oleh itu, ilmu mereka perlu ditambah dan kebajikan mereka perlu dijaga. Peluang perlu diberi kepada mereka untuk memperlengkap pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada. Sesuatu peluang itu juga perlu disediakan untuk mereka memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang baru. Apabila SK mulai perkasa dan menjadi pilihan masyarakat di Malaysia, maka kerajaan tidak perlu gusar jika gagasan sekolah wawasan kurang diberi sambutan manakala sekolah bestari pula sukar diwujudkan. Ciri, konsep dan falsafah bagi kedua bentuk sekolah itu sebenarnya pula boleh digarap dalam sebuah SK perkasa. Oleh itu, usaha untuk memperkasakan SK sudah hampir ke mercu kejayaan sekiranya segala cadangan yang telah dikemukakan dapat dilaksanakan dengan penuh komited dan bersungguh-sungguh (Mengatur Langkah Ke Arah Memperkasa Sekolah Kebangsaan: Pandangan dan Cadangan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia).

Dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, SK merupakan wahana terbaik untuk memupuk perpaduan kaum sejak dari peringkat awal persekolahan kanak-kanak. SK perlu mencerminkan budaya Malaysia, menunjukkan pencapaian yang cemerlang dari segi akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah, mempunyai persekitaran yang kondusif, budaya kerja yang positif dan mampu menawarkan program pendidikan yang berasaskan pelanggan bagi menarik minat semua ibu bapa dan pelajar dari pelbagai latar belakang, kaum dan agama.

-Dian Adni-


 
 

1 ulasan:

  1. Terima kasih... Artikel yang banyak membantu menambah pengetahuan saya.

    BalasPadam