Sabtu, Mac 24

Dulu dan Kini


Perjalanan hidupku di dunia yang sementara ini, bermula daripada seperti ini:


Seorang yang ingin mengikuti perkembangan fesyen dan trend terkini. Potongan rambut, fesyen baju, sehinggalah gaya kasut. Keluar sahaja fesyen baharu, semua nak diikut.


Kemudian, naik sahaja sekolah menengah, kesedaran itu datang. Aku mula bertudung. Keluar rumah aku mula bertudung. Jalan dengan kawan-kawan sekelas, aku akan pakai tudung. Sampailah sekarang...

TAPI

Pada suatu hari, semasa aku sedang membaca sebuah buku, aku mula menyoal diriku sendiri.

Adakah aku benar-benar bertudung?
Adakah aku benar-benar menutup auratku?
Adakah aku benar-benar melindungi perhiasanku yang haram dilihat oleh orang lain yang bukan muhrim?




Rupa-rupanya walaupun aku sudah bertudung tetapi cara pemakaianku tidak selari dengan hukum di dalam Al-Quran itu sendiri.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nur, ayat 31 bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak- anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Sabda Nabi Muhammad SAW: 
“Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, maka mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan.” 
(H.R Abu Daud)
Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi yang telanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk surga dan tidak akan mencium baunya 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-A`araf, ayat 26 yang bermaksud:
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan- bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”


Walau bagaimanapun, untuk melakukan transformasi itu bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak baik sekiranya dilakukan secara drastik kerana dikhuatiri akan berpatah balik. Nauzubillah~ Perubahan itu boleh dianalogikan sebagai orang yang tak pandai makan durian tiba-tiba ingin makan durian. Jika dia terus kepada seulas pasti dia akan muak, mungkin terus berhenti, atau membuangnya semula. Oleh itu adalah baik sekiranya dia mulakannya dengan rasa demi rasa. 

Sesungguhnya aku sangat berharap supaya suatu saat nanti aku dapat menghiasi diriku dengan lebih sempurna, dengan menutup diriku dengan tudung dan pakaian yang benar-benar dapat melindungi perhiasan diriku yang menjadi mahkota wanita solehah. AMIN...

Aku sangat berharap, suatu saat nanti, aku akan jadi seperti ini:







INSYALLAH...

"Wahai Tuhan kami ! Terimalah daripada kami (akal kami), sesungguhnya Engkaulah yg Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami ! Jadikanlah kami orang Islam (yg berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yg berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kami syariat dan cara-cara ibadat kepada kami, dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." 

(Surah al-Baqarah 2: 127-128) 


-Dian Adni-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan