Isnin, Mac 19

BSS 3053 : Prosa Melayu


Sinopsis drama “Inflakasta” karya Hashim Yassin.

Drama “Inflakasta” mengisahkan Dibisi dan Marhen yang kelaparan telah berkenalan secara kebetulan dalam suasana peperangan.  Mereka menceritakan latar belakang diri masing-masing.  Muncul Siti yang sasau mencari Inflakasta.  Siti menuduh Marhen dan Dibisi berperang menyebabkan anaknya hilang.  Mereka bertiga telah dikepung dan Kastabung yang cuba menangkap mereka.  Marhen cuba melawan tetapi dilarang oleh Dibisi.  Dibisi merayu supaya dilepaskan.  Kastabung dan Marhen bergelut tetapi dihalang oleh Taliba dan Siti.  Jakidan datang melaporkan keadaan kekuatan pasukan Kastabung.  Marhen dan Dibisi cuba mengingatkan Kastabung dan Jakidan tentang kesan dan akibat peperangan tetapi tidak diendahkan oleh mereka.   

Marhen dan Dibisi bertengkar sehingga bergelut menarik perhatian Kastabung.  Taliba cuba menembak mereka tetapi senjata kuasa bahayanya dirampas oleh Siti.  Siti mengarahkan Kastabung supaya memberitahu konco-konconya agar beredar dari tempat itu.  Siti leka meluahkan perasaannya tentang peperangan sehingga ditembak oleh pengikut Kastabung.  Siti rebah, Marhen menyambar senjata kuasa bahaya daripada Siti.  Dibisi turut ditembak semasa memapah Siti.  Marhen yang geram melepaskan tembakan senjata kuasa bahaya mengakibatkan semua orang rebah.  Keadaan menjadi sunyi. 

Selepas itu, muncul Infla dan Kasta mencari ibu mereka.  Mereka memapah Siti dari celah batu dan menyeru ibunya, Siti bangun dari tidurnya.  Siti menasihati Infla dan Kasta supaya tabah menghadapi dugaan hidup serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Tema
Menurut Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir dalam bukunya Komsas Pegangan Teras Keterampilan, tema ialah gambaran tentang gagasan, fikiran, atau persoalan pokok yang menjadi tunjang sesebuah cerita atau persoalan utama yang diutarakan atau dikemukakan oleh pengarang dalam sesebuah karya ataupun isi atau inti pemikiran yang ingin disampaikan oleh penulis.

Drama Inflakasta memaparkan pemikiran manusia tentang kesan dan akibat daripada sistem kasta, inflasi, dan peperangan yang bakal menimpa manusia begitu juga dengan kehidupan sejagat. Hal ini dapat dilihat dalam drama Inflakasta melalui teks berikut:
“Begini rupanya manusia zaman ini. Berpenyakit ideologi. Hidup berkasta-kasta. Kasta yang berkuasa menindas kasta yang daif. Bergelumang dengan kepentingan diri, hasilnya mencipta inflasi yang berlarutan. Danau yang jernih menjadi kering-kontang. Tapi kamu tetap hidup. Hidup dalam darah yang bernanah. Hidup dalam noda dan dosa. Ya, anggaplah kehidupan di dunia ini suatu kehidupan yang indah, maha penting! Makanan, minuman, harta benda, pangkat dan kedudukan sangat penting, sumber segala kebahagiaan, kerana tidak ada lagi kebahagiaan dan kesenangan di sebalik itu. Padaku hanya satu jalan yang baik untuk bertindak membasmikan kasta-kasta ini. Semua akan kukirimkan pada satu kehidupan yang sejati. Biar kita menjadi debu hari ini.”

Persoalan 
            Persoalan ialah perkara-perkara pokok atau utama yang ingin dikemukakan oleh pengkarya atau pengarang bagi memantapkan tema dalam sesebuah karya ataupun isi-isi sampingan yang membentuk idea penulis.
           
Dalam drama Inflakasta, terdapat beberapa perkara yang menjadi persoalan utama, antaranya ialah:

1-Peperangan yang membawa manusia kepada penderitaan.
            Persoalan mengenai peperangan yang boleh membawa kepada penderitaan dapat dilihat melalui petikan teks berikut:
“Kamu! Kamu! Kamu! Kamu! Kamu zalim. Kamu pembunuh. Kamu berperang. Kamu meruntuhkan dunia. Zalim! Zalim! Anakku hilang kerana kamu. Anakku lapar kerana kamu. Anakku hilang kerana kamu. Perang! Perang! Manusia berlaga sesama sendiri.”

2-Peperangan tidak mengenal mangsa baik lelaki, wanita, orang tua, mahupun kanak-kanak.
            Persoalan mengenai peperangan yang tidak mengenal mangsa baik lelaki, wanita, orang tua, mahupun kanak-kanak dapat dilihat melalui penglibatan dalam watak seperti Dibisi, Marhen, Siti, Infla, dan Kasta yang turut menderita akibat peperangan.

3-Golongan yang mengambil kesempatan terhadap orang lain.
            Persoalan mengenai golongan yang mengambil kesempatan terhadap orang lain dapat dilihat melalui petikan teks berikut:
“Aku Kastabung. Wilayah ini aku punya. Gurun ini ialah kawasan perangkap manusia. Manusia tidak akan hidup jika telah menjejakkan kakinya di gurun ini. Kamu sungguh tak bernasib baik hari ini. (Diam sejenak) Hei, apakah yang telah kamu pelajari tentang gurun ini? Dari mana kamu datang hah? Oh, kamu ini perisik bukan? Dari mana? Kuasa mana? (Diam sejenak) Oh, membisu! Taat sungguh kamu pada tuanmu ya. Daripada itu, bersedialah kamu menghadapi hukumanku.”

4-Kemusnahan harta benda dan alam sekitar impak daripada peperangan.
            Seterusnya, persoalan mengenai kemusnahan harta benda dan alam sekitar impak daripada peperangan dapat dilihat melalui petikan teks berikut:
“Pemandangan di sebuah gurun berbatu. Bangunan-bangunan runtuh, kawat-kawat besi bergulung merentangi runtuhan itu. Pokok-pokok mati berceratuk. Kawasan kering kontang dan gersang…”
  
Watak dan perwatakan     
Watak ialah pelaku dalam sesebuah karya atau tokoh dalam cerita atau pendukung atau juga pelakon yang memainkan peranan bagi menggerakkan atau menghidupkan sesebuah cerita dalam sesebuah karya atau teks kesusasteraan. Watak boleh sahaja terdiri daripada manusia atau bukan manusia seperti haiwan atau benda.

            Seterusnya, perwatakan ialah gambaran sikap dan sifat yang dimiliki oleh watak dalam sesebuah cerita atau yang menjadi pelaku dalam karya waima secara fizikal ataupun sifat secara dalaman. Dalam sesebuah karya, kebiasaannya watak atau pelakunya pelbagai jenis.
           
Dalam drama Inflakasta, terdapat watak-watak yang memainkan peranan dalam menggerakkan cerita antaranya seperti Marhen, Dibisi, Siti, Kastabung dan beberapa watak sampingan lain seperti Taliba, Jakindan, Infla, dan Kasta. Watak-watak tersebut masing-masing mempunyai perwatakan yang tersendiri. Watak-watak dan perwatakan yang terdapat dalam drama Inflakasta adalah seperti berikut:

1-Marhen
            Dalam drama Inflakasta, watak Marhen atau nama penuhnya Marhen bin Daif merupakan seorang yang digambarkan berwajah bengis, mempunyai misai dan jambang yang tidak menentu, pakaiannya kehitaman dan kotor. Sebelum peperangan berlaku, Marhen merupakan seorang petani. Marhen juga seorang yang agresif, berani, dan kasar tutur katanya. Perwatakan Marhen digambarkan dalam teks berikut:
           “Namaku Marhen. Ya, Marhen bin Daif. Dulu aku seorang petani yang tidak pernah lapar. Hasil daripada titik peluhku itu kebanyakannya aku sedekahkan kepada orang yang memerlukannya. Sekurang-kurangnya aku telah menolong orang yang lapar semasa aku kenyang dulu. (Diam sejenak). Sekarang aku lapar. Semua orang lapar. Adil kan?”

2-Dibisi
            Watak yang seterusnya ialah Dibisi atau nama penuhnya Dibisi bin Elita. Dibisi digambarkan seorang yang berwajah intelek dan sopan berbanding watak Marhen. Pakaiannya juga carik dan kotor. Dibisi masih memakai tali lehernya yang lusuh dan memegang kotnya yang berdebu. Wajahnya kelihatan letih.  Sebelum peperangan, Dibisi merupakan seorang pemimpin atau ketua dalam sesebuah negeri. Dibisi juga bakal menjadi pengeluar utama besi waja di dunia. Dibisi digambarkan juga sebagai seorang yang rasional dan sentiasa tenang dalam menghadapi apa juga situasi yang genting.  Dibisi telah terbunuh semasa cuba untuk menyelamatkan Siti. Perwatakan Dibisi dapat dilihat dalam teks berikut:
           “Maafkan aku lagi. (Diam sejenak). Namaku Dibisi. (Dibisi menghulurkan tangan untuk bersalaman. Marhen Menyambut salam) Aku Dibisi bin Elita. (Diam sejenak). Aku sebenarnya…memang seorang diri. Dulu-dulu pun aku keseorangan. Aku keseorangan kerana aku menjaga maruah sebagai seorang yang penting dalam negaraku. Kata-kataku ialah undang-undang bagi orang bawahanku. Aku menjadi symbol pembangunan material di daerahku. Mereka ghairah dengan kekayaan material itu. Hidup bertuankan wang. Semua kenyang. Kami tidak perlu makanan yang primitif di dalam negeri kami kerana barangan dari luar senang diperoleh. Aku berangan-angan besar untuk menjadikan negeriku sebagai pengeluar utama besi waja di dunia…”

3-Siti
            Siti merupakan seorang ibu muda yang memakai gaun kebiruan yang telah lusuh dan carik-carik.  Dalam peperangan tersebut Siti telah menjadi sasau kerana telah kehilangan anak-anaknya.  Siti juga digambarkan sebagai seorang yang pandai menyanyi, berani dan juga seorang yang bijak.  Siti tidak suka akan peperangan.  Selain itu, Siti juga seorang yang penyayang dan selalu menasihati anak-anaknya, Infla dan Kasta. Perwatakan Siti pula dapat dilihat dalam teks berikut:
           “(Mengilai) Inflakasta! Inflakasta! Di mana kau nak? Di mana? Di mana? Mari! Mari nak. Ibu rindu. Inflakasta! Inflakasta!”

4-Kastabung
            Dalam drama Inflakasta, Kastabung merupakan seorang diktator yang zalim.  Watak Kastabung memakai jubah seperti drakula dan memegang sekaki tongkat perakam.  Kastabung merupakan ketua pasukan yang mempunyai ramai pengikut. Perwatakan Kastabung pula dapat dilihat dalam teks berikut:
           “(Bengis) Aku Kastabung. Wilayah ini aku punya. Gurun ini ialah kawasan perangkap manusia. Manusia tidak akan hidup jika telah menjejakkan kakinya di gurun ini. Kamu sungguh tak bernasib baik hari ini. (Diam sejenak). Hei, apakah yang telah kamu pelajari tentang gurun ini? Dari mana kamu datang hah? Oh, kamu ini perisik bukan? Dari mana? Kuasa mana...”

Plot dan teknik plot 
Plot atau alur ialah jalinan perkembangan atau pembinaan cerita, waima secara kronologi atau tidak kronologi. Plot juga rentetan peristiwa yang berdasarkan sebab dan akibat. Dalam sesebuah karya kreatif, sesuatu plot itu dibina dengan pelbagai cara. Cara yang biasa disebut sebagai pembinaan alur yang normal atau yang tidak kompleks bagi sesebuah karya. Secara keseluruhannya, plot dalam drama Inflakasta disusun secara kronologi. Plot dalam drama tersebut dapat dibahagikan kepada:

1-Permulaan.
            Drama Inflakasta dimulakan dengan sesi perkenalan antara Marhen dan Dibisi. Perkenalan mereka bermula selepas mereka berebut kotak kosong yang disangkakan berisi makanan. Selepas itu, mereka mula menceritakan latar belakang diri masing-masing. Bahagian permulaan bagi plot drama Inflakasta ditandai pada bahagian teks berikut:
           “…Dari celah sebuah batu besar, muncul seorang mangsa perang (Dibisi) yang kelihatan amat penat. Pakaiannya carik-carik, tali lehernya yang lusuh masih tergantung di lehernya. Kot yang berdebu masih dikeleknya dengan erat. Dari sudut kepulan asap, muncul pula seorang lagi mangsa perang (Marhen) yang lebih kotor, bengis, dan berjambang yang tak terurus. Matanya liar mencari sesuatu. Di tengah halaman itu terdapat sebuah kotak “fragile-food” yang telah lusuh. Kedua-dua mangsa ternampak kotak yang sama. Mereka menerkam pada kotak itu. Pergelutan sengit berlaku…”


2-Perkembangan
            Bahagian perkembangan dalam drama Inflakasta bermula apabila masuknya watak-watak lain seperti watak Siti, Kastabung, Taliba, dan Jakidan. Pada ketika itu, Siti sedang mencari anak-anaknya yang hilang, iaitu Infla dan Kasta. Bahagian perkembangan pula ditandai pada bahagian teks berikut:
           “Inflakasta! Inflakasta! Inflakasta di mana? (Diam sejenak) Inflakasta mari sini. Jangan tinggalkan emak. Ibu takut nak. Ibu takut nak. Inflakasta! Inflakasta!”

3-Konflik
            Pada peringkat konflik, pertengkaran telah berlaku dan mereka saling menyalahkan antara satu sama lain. Dalam pergelutan tersebut, Marhen, Dibisi, dan Siti telah merampas senjata “kuasa bahaya” daripada Taliba. Bahagian konflik pula ditandai pada bahagian teks berikut:
           “Siti: (Meludah) Aku juga manusia seperti kamu. Aku lebih berkuasa daripada kamu kerana aku golongan yang melahirkan generasi. Jakindan: Perempuan! Eh, kamu hanya melahirkan! Itu saja…”

4-Klimaks

            Siti rebah akibat terkena tembakan pada bahagian bahunya. Marhen telah mengambil senjata “kuasa bahaya” manakala Dibisi pula membantu Siti. Bahagian klimaks pula ditandai pada bahagian teks berikut:
           “Terdengar suatu bunyi gegaran. Sinaran cahaya tajam di luar menusuk tepat ke bahu Siti. Siti rebah. Marhen melompat menyambar senjata “kuasa bahaya”. Semua panik semula…”

5-Peleraian
            Anak-anak Siti, iaitu Infla dan Kasta menemui ibunya. Mereka membawa makanan untuk ibu mereka. Mereka menangis kuat kerana kematian ibu mereka. Bahagian peleraian dalam drama Inflakasta ditandai pada bahagian teks berikut:
           “Ibu! Ibu! Ibu! Dua orang kanak-kanak (Infla dan Kasta) muncul membawa bungkusan. Mereka hairan melihat mayat-mayat bergelimpangan di situ. Seorang daripadanya ternampak Siti di celah batu.  Infla: Ibu! Ini kami bawa makanan. Celiklah mata. Kasta: Ibu, janganlah tidur. Bukalah mata tu. Ibu! Ibu! Lihat ini kami bawa makanan! Infla: (Menangis) Ibu kita mati, dik. Ibu dah tinggalkan kita, dik. Kasta: (Menangis kuat) Ibu! Jangan tinggalkan aku, bu...”


Teknik plot
            Teknik penceritaan atau dikenali juga sebagai teknik plot ialah kaedah atau cara yang dipilih oleh pencerita atau penulis untuk membina atau menyampaikan sesuatu cerita agar cerita atau kisah yang dikemukakannya itu menarik dan tidak membosankan pendengar atau penonton atau pembaca. Kebiasaannya, bagi menjadikan sesuatu cerita atau kisah itu menarik dan tidak membosankan, pencerita atau pengkarya akan menggunakan banyak cara atau teknik untuk menghasilkan cerita yang menarik.
            Dalam drama Inflakasta, teknik yang banyak digunakan ialah teknik pemerian. Teknik pemerian ialah teknik yang menggunakan kaedah bercerita tentang sesuatu peristiwa atau keadaan.           

Latar 
Latar ialah keterangan atau gambaran persekitaran yang berkaitan atau yang meliputi perihal tentang masa, tempat, masyarakat, atau suasana yang membawa kepada terjadinya sesuatu peristiwa dalam karya.

1-Latar masa
Latar masa merupakan perihal bayangan atau gambaran mengenai zaman, era, sejarah, atau musim sesuatu cerita atau peristiwa itu terjadi. Dalam drama Inflakasta, latar masanya, iaitu dalam suasana peperangan.
           
2-Latar masyarakat
Latar masyarakat pula ialah perihal lukisan atau gambaran mengenai suasana kehidupan atau budaya hidup masyarakat dalam sesuatu karya atau cerita seperti pekerjaan, kepercayaan, agama, amalan, dan sikap. Latar masyarakat dalam drama Inflakasta ialah masyarakat yang berperang untuk meneruskan kehidupan. Mereka menggunakan kekuatan fizikal untuk menguasai orang lain dan sangat mementingkan kekuasaan dan kedudukan untuk menjamin kelangsungan hidup. Kebanyakan mereka mangsa peperangan yang menderita.
           
3-Latar Tempat
Seterusnya, latar tempat bagi drama Inflakasta ialah di kawasan gurun gersang yang hanya terdapat runtuhan-runtuhan rumah batu.

Gaya Bahasa
Gaya bahasa ialah cara atau ragam bahasa yang digunakan dalam penulisan atau lisan ataupun cara pemakaian bahasa dalam sesebuah karya atau susunan kata, frasa, dan ayat yang digunakan oleh pengarang dalam usaha melengkapkan tema dan persoalan.
           
Dalam drama Inflakasta, secara keseluruhannya drama tersebut menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami. Antara bentuk gaya bahasa yang terdapat dalam drama Inflakasta ialah:

1-Ayat Seruan
Contoh: Hei!  Bongkak!
               Undur!  Aku bunuh semua.

2-Sinkof
Contoh: Namaku Marhen
              Dalam perang tak ada jenaka tau?

3-Repitasi
Contoh:  Lapar bersama, mati bersama.
               Tembak, tembak

4-Peribahasa
Contoh: Padang jarak padang terkukur, tak kenal maka tak cinta.

5-Lirik Lagu
Contoh:  Do-di-do-doi, dodoi di dodoi,
               Tidurlah anak di dalam buaian  
               (korus)
               Lailahaillah, Muhammadan Rasullulah (2x)
               Tidurlah anak, ibu dendangkan,
               Lekaslah besar bimbing negara.

6-Bahasa Asing
Bahasa Arab
Contoh:  Syukur Alhamdullah.

Bahasa Inggeris
Contoh: sorry, neck tie dan coat, exhaust, fragile, food

7-Hiperbola
Contoh: Luahkan peluru itu.

8-Simile
Contoh: Letupan bergegaran seperti halilintar.

9-Personifikasi
Contoh: Cahaya ‘laser’ menjunam mencari sasaran.

10-Perlambangan
Contoh: Primitif dalam negeri kami.

Nilai dan pengajaran.
            Nilai ialah segala perbuatan, perlakuan, atau tindakan yang bermutu, berdarjat, bertaraf, atau elok yang harus dijadikan contoh dan teladan. Dalam drama Inflakasta, nilai-nilai yang diterapkan ialah seperti:

1-Nilai kasih sayang
Contoh: Siti amat menyayangi anak-anaknya Infla dan Kasta.
Nilai kasih sayang dalam drama Inflakasta dapat dilihat melalui petikan berikut:
“(Mengilai) Inflakasta! Inflakasta! Di mana kau nak? Di mana? Di mana? Mari! Mari nak. Ibu rindu. Inflakasta! Inflakasta!”

2-Nilai bertanggungjawab
Contoh: Infla dan Kasta membawakan makanan untuk ibu mereka.
Nilai bertanggungjawab dapat dilihat melalui petikan “Ibu! Ini kami bawa makanan. Celiklah mata.”

3-Nilai menghargai persahabatan.
Contoh: Persahabatan antara Dibisi dan Marhen terjalin semasa mereka mencari  
  makanan.

4-Nilai bekerjasama
Contoh: Dibisi dan Marhen bekerjasama mencari makanan kerana kelaparan.

Pengajaran
Pengajaran pula ialah nilai yang menyarankan seseorang individu atau mengajar manusia supaya berbuat sesuatu yang baik, yang disenangi, dan yang diterima oleh setiap anggota masyarakat dan agama. Pengajaran yang terkandung dalam drama Inflakasta ialah seperti:

1-Kita hendaklah berkerjasama mengelakkan peperangan yang akan  
   menyebabkan hidup manusia menderita.
2-Kita janganlah membelakangkan orang tua.
3-Kita mestilah taat dan setia kepada pemimpin.
4-Kita mestilah bijak dalam membuat keputusan.


-Dian Adni-




Tiada ulasan:

Catat Ulasan