Isnin, Mac 19

BMP 3093 : Aplikasi Komputer


Pengenalan

Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mempunyai matlamat memperkembang fungsi murid secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani supaya mereka dapat menjalani kehidupan seharian mereka dengan berkesan dan penuh tanggungjawab. Untuk mencapai matlamat, antara lain guru perlu mempunyai kemahiran memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan bijaksana supaya kaedah yang dipilih itu sesuai dengan murid yang mempunyai pelbagai kebolehan, kecenderungan, dan minat. Ilmu pengetahuan murid tidak semuanya berasal daripada maklumat deria yang wujud secara bebas dalam persekitaran yang diserap ke dalam fikiran murid melalui pengalaman dan pancaindera atau mungkin juga wujudnya pengetahuan semula jadi dalam mental tetapi ilmu pengetahuan tersebut diperoleh dengan cara membina sendiri melalui pengalaman, renungan, dan pengabstrakan.

            Oleh itu, untuk mendapatkan hasil pengajaran dan pembelajaran yang terbaik dan berkualiti, guru perlu menganalisis gaya atau kaedah pengajaran dan pembelajaran bilik darjah yang tepat dan bersesuaian dengan pelajar. Antara kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sering digunakan di dalam bilik darjah ialah pendekatan objektivisme yang lebih berpusatkan guru. Walau bagaimanapun, pada zaman ini kaedah tersebut bukanlah kaedah yang efektif dan hasilnya juga kurang menggalakkan. Oleh yang demikian, pendekatan konstruktivisme yang lebih berpusatkan murid perlu dipraktikkan di dalam bilik darjah sebagai contoh dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.


Teori Objektivisme

Objektivisme berpegang kepada fahaman yang melihat objek dan nilai kualiti yang wujud dengan tersendiri. Pada pandangan objektivisme realiti luar bebas daripada minda dan pengetahuan manusia. Walau bagaimanapun, perbezaan persepsi terhadap realiti luar wujud antara manusia kerana manusia mempunyai bias, pandangan, dan pilihan sendiri yang berbeza. Untuk berfikiran objektif, manusia harus mengenepikan bias, pandangan, dan pilihan sendiri dengan berfikir secara logik dan saintifik. Pendekatan objektivisme dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) sealiran dengan behaviourisme. Fahaman behaviourisme beranggapan bahawa tingkah laku manusia dibentuk secara luaran dan dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Tingkah laku ialah rangkaian rangsangan dan gerak balas. Tingkah laku manusia berlaku secara penyesuaian dan penerimaan maklumat berlaku secara pasif.
           
Behaviourisme mengenepikan faktor warisan baka, jiwa, dan mental. Pendekatan pembelajaran terbatas kepada perubahan dalam tingkah laku yang boleh dilihat. Behaviourisme memberi penekanan kepada peneguhan terhadap tingkah laku untuk mencapai tahap kemahiran seperti yang dianjurkan tanpa mengira kefahaman atau pemikiran logik seseorang. Guru memainkan peranan yang penting dengan mengawal keseluruhan kelas. Hal ini membuatkan para pelajar perlu mengikuti pembelajaran secara mendatar, iaitu berpandukan pembelajaran yang tersedia ada dengan segalanya diatur mengikut pandangan pakar yang membuat sukatan pelajaran dan terjadinya satu batasan untuk guru memainkan peranan serta pengalaman mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
           
Dalam pendekatan objektivisme, peranan guru adalah terbatas disebabkan oleh penyekatan kreativiti atau pengolahan sesuatu subjek di dalam pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilakukan dengan mudah kerana telah ditetapkan dan proses P&P perlulah melalui landasan betul yang telah digariskan dalam sukatan pelajaran. Oleh yang demikian, pelajar akan menerima secara terus dan minda pelajar tidak dapat diolah dengan menggunakan pelbagai kaedah dalam keadaan yang berbeza. Paradigma pendidikan sekarang lebih menjurus ke arah objektivisme. Paradigma ini diperlihatkan gagal dalam menyelesaikan pelbagai masalah pembelajaran pelajar. Teknik pembelajaran juga tidak lari dari pendekatan objektivisme dengan contoh murid diuji sama ada mereka dapat memberi jawapan yang dikehendaki oleh penggubal soalan atau tidak. Setelah diuji pelajar mempunyai tafsiran yang sama dengan penggubal. Oleh itu, soalan-soalan yang banyak dikemukakan menggambarkan pendedahan dari segi pemikiran yang kreatif dan kritis bagi pelajar, daya pengujian pula akan lemah kerana pelajar tidak dapat diuji dengan lebih efektif dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam pembelajaran bahasa Melayu.
           
Teori ini banyak menyekat kebebasan pelajar dalam memberi daya pemikiran yang kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penyekatan ini mampu memberi impak yang besar kepada pelajar dalam menilai tahap pembelajaran mereka disebabkan pembatasan yang dilakukan oleh sistem pendidikan yang menggunakan teori ini. Teori ini juga banyak memberi kesan negatif bukan sahaja pada pelajar malah pada guru kerana keterbatasan ini boleh menjejaskan daya kreativiti guru untuk mengolah suasana pengajaran agar lebih konduktif dan berkesan.


Pendekatan Objektivisme dalam Bilik Darjah

            Teori objektivisme banyak digunakan dalam sistem pembelajaran di dalam bilik darjah, misalnya dalam pembelajaran bahasa Melayu. Pendekatan objektivisme dianggap mudah kerana telah ditetapkan segalanya oleh pakar untuk guru menyampaikan segala isi kandungan subjek yang diajar mengikut sukatan dan huraian yang ditetapkan. Oleh yang demikian, guru perlu mengikut segala konsep yang diberikan oleh sukatan dan guru hanya perlu menjelaskan isi kandungan sukatan semasa mengajar. Implementasi dari kesan teori ini amat jelas, iaitu terdapat kebaikan dan keburukan dalam menggunakan teori objektivisme.

Kebaikan yang diperoleh dari teori tersebut ialah seperti memudahkan guru dalam proses pengajaran. Guru mengetahui skop dan huraian yang perlu diajar. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru hanya berpandukan pendekatan yang telah digariskan. Hal ini membantu guru untuk lebih bersedia dengan nota dan juga soalan-soalan yang akan diberikan kepada pelajar. Teori objektivisme juga bersifat tetap dan tidak boleh diubah oleh sesiapa melainkan garis panduan baharu yang dikeluarkan dan mendapat pengesahan yang sewajarnya. Oleh yang demikian, guru mudah melakukan imbasan dan juga membuat kesimpulan dalam pengajaran dan pembelajaran yang akan diajar di dalam bilik darjah. Ketetapan yang sedia ada ini memudahkan guru bersedia dalam struktur pengajaran mereka agar dapat dipraktikkan dengan lebih mudah dan sempurna apabila berhadapan dengan pelajar semasa di dalam bilik darjah.
           
Walau bagaimanapun, disebalik kebaikan-kebaikan dalam teori objektivisme, terdapat juga beberapa implementasi yang negatif dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Jika dilihat secara mendalam, teori ini jelas menyekat kebebasan guru dalam membuat perubahan struktur pengajaran mengikut kehendak mereka. Oleh yang demikian, guru tidak mampu memberi buah fikiran dan juga idea-idea yang bernas dan bersesuaian dengan kehendak semasa kerana mereka dibayangi dengan ketetapan yang sedia ada, iaitu sukatan dan huraian yang telah diwartakan. Selain itu, pelajar juga mendapat impak yang mendalam kesan aplikasi daripada teori ini. Hal ini jelas kerana pendekatan ini memberi kesan dalam pemahaman pelajar khususnya dalam pembelajaran bahasa Melayu kerana mereka tidak diberikan olahan yang bersesuaian mengikut situasi yang sebenar. Penyekatan ini dapat dilihat dengan jelas, iaitu guru mengajar secara berterusan mengikut sukatan yang telah ditetapkan dan pelajar tidak dapat memberi buah fikiran mereka dalam memahami secara mendalam tentang sesuatu subjek yang diajar.


Teori Konstruktivisme

Konstruktivisme pula merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Unsur-unsur konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, maktab, dan universiti tetapi tidak begitu ketara dan tidak ditekankan. Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada murid dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu membina sesuatu pengetahuan mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh memberikan semua kandungan untuk murid. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan sekolah ialah satu skema, iaitu aktiviti mental yang digunakan oleh murid sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui murid adalah realiti yang dibina sendiri. Murid sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka. Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses inilah dinamakan konstruktivisme.
           
Beberapa ahli konstruktivisme yang terkemuka berpendapat bahawa pembelajaran yang bermakna bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid. Mereka berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara sama ada yang betul atau yang salah. Jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan atau tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan, mereka akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin memberi jawapan seperti yang dikehendaki guru. Bukan itu sahaja, dalam teori konstruktivisme dikatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Dari perspektif epistemologi yang disarankan dalam konstruktivisme fungsi guru akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan dan cara melaksanakan kurikulum. Sebagai contoh, perspektif ini akan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menuju kepada kejayaan murid.  





Prinsip Pendekatan Konstruktivisme dalam Pengajaran dan Pembelajaran



1

Otak ialah prosesor yang selari dan dapat memproses banyak jenis maklumat termasuk fikiran, emosi, dan pengetahuan budaya. Pengajaran yang efektif menggunakan pelbagai strategi pengajaran.


2

Pembelajaran melibatkan keseluruhan fisiologi. Guru tidak boleh menumpukan intelek sahaja.


3

Usaha untuk mencari makna bersifat semula jadi. Pengajaran efektif menyedari bahasa pengertian bagi seseorang adalah personal dan unik. Pemahaman seseorang pelajar bergantung kepada pengalaman uniknya.


4

Usaha untuk mencari makna berlaku melalui pencorakan. Pengajaran efektif menghubungkaitkan idea dan maklumat dengan konsep dan tema global.


5

Emosi adalah kritikal kepada pencorakan. Pembelajaran dipengaruhi oleh emosi, perasaan, dan sikap.


6

Otak memproses bahagian kecil dan keseluruhannya secara serentak. Masalah timbul apabila ada bahagian yang diabaikan.


7

Pembelajaran melibatkan perhatian berfokus dan persepsi keliling. Pembelajaran dipengaruhi oleh persekitaran, kebudayaan, dan iklim.


8

Pelajaran yang melibatkan proses sedar dan tidak sedar. Pelajar memerlukan masa untuk memproses isi pelajaran.


9

Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis ingatan yang digunakan. Sistem ingatan ruang dan sistem ingatan untuk pembelajaran hafalan. Pengajaran yang terlalu mengutamakan pembelajaran hafalan tidak memajukan pembelajaran ruang dan pembelajaran berasaskan pengalaman boleh menghalang pemahaman murid.


10

Pelajar memahami dan mengingati dengan baik jika fakta dan kemahiran diselitkan dalam ingatan semula jadi dan ingatan ruang. Pembelajaran berunsurkan eksperimen dianggap paling efektif.


11

Pembelajaran diperkuat oleh cabaran dan dibantutkan oleh ancaman. Iklim bilik darjah harus mencabar tetapi bukan mengugut pelajar.


12

Setiap otak adalah unik. Pengajaran mestilah dipelbagaikan agar murid dapat menyatakan kecenderungan masing-masing.




Pendekatan Konstruktivisme dalam Bilik Darjah

Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme. Dari persepektif epistemologi yang disarankan dalam konstruktivisme fungsi guru akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan dan cara melaksanakan kurikulum. Sebagai contoh, perspektif ini akan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu kepada kejayaan murid meniru dengan tepat apa sahaja yang akan disampaikan oleh guru. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang memberi tumpuan kepada kejayaan murid akan membantu mereka membina skema konsep berdasarkan kepada pengalaman yang aktif. Hal ini juga akan mengubah tumpuan penyelidikan daripada pembinaan model daripada kaca mata guru kepada pembelajaran sesuatu konsep daripada kaca mata murid.

Bagi mengimplimentasikan model konstuktivisme di dalam bilik darjah, guru mestilah menggunakan pelbagai perspektif dan representasi konsep dan isi kandungan yang didedah dan digalakkan. Matlamat dan objektif mesti diperoleh oleh pelajar atau dalam perundingan dengan guru atau sistem. Guru juga memainkan peranan sebagai pembimbing, pemantau, jurulatih, tutor dan pemudahcara dengan menyediakan pelbagai aktiviti, kesempatan, alat dan persekitaran yang dibekalkan untuk menggalakkan metakognisi, analisis, kawalan, refleksi dan penyedaran kendiri. Selain itu, pelajar juga memainkan peranan utama dalam mengawal pembelajaran. Situasi pembelajaran, persekitaran, kemahiran, isi kandungan dan tugasan adalah relevan, realistik, autentik dan mewakilkan kompleksiti semula jadi dunia sebenar. Bahan pengajaran guru mestilah dari sumber-sumber data primer digunakan untuk memastikan ketulenan dan kompleksiti dunia sebenar. Pembinaan pengetahuan dan bukan reproduksi fakta diutamakan.

Proses pengetahuan ini berlaku dalam konteks individu dan melalui rundingan, kolaborasi dan pengalaman sosial. Sikap, kepercayaan dan pembinaan pengetahuan yang lalu diambil kira dalam proses pembinaan pengetahuan semasa. Penyelesaian masalah, kemahiran berfikir aras tinggi dan pemahaman mendalam ditegaskan. Kesilapan pelajar merupakan peluang untuk memahami pembinaan pengetahuannya yang lalu. Penerokaan adalah pendekatan pilihan untuk menggalakkan pelajar mencari pengetahuan secara berdikari dan mengurus pencapaian matlamatnya. Pelajar diberi peluang untuk pembelajaran bersifat latihan perantisan, iaitu tugasan, kemahiran dan pengetahaun bertambah kompleks. Kompleksiti pengetahuan dicerminkan dalam saling hubungan konsep dan pembelajaran antara disiplin. Pembelajaran koperatif dan kolaboratif diketengahkan agar pelajar didedahkan kepada pandangan alternatif. Tetangga (scaffolding) digunakan untuk membantu pelajar mencapai di seberang (beyond) had kebolehannya.


Perbezaan Objektivisme dan Konstruktivisme

Paradigma pendidikan pada zaman ini kebanyakannya merupakan paradigma objektivisme. Sebenarnya paradigma ini gagal menyelesaikan banyak masalah dalam pendidikan. Perbezaan antara objektivisme dengan konstruktivisme adalah sangat nyata. Objektivisme berdasarkan tanggapan bahawa wujud pengetahuan di luar persepsi manusia. Menurut pandangan ini, fungsi sains ialah untuk memastikan pengetahuan disampaikan secara objektif. Proses pembelajaran dalam paradigma ini hanyalah untuk menyalurkan pengetahuan pendidik kepada murid. Pengetahuan dari perspektif konstruktivisme adalah penjelasan yang paling sesuai untuk menghuraikan fenomena yang diperhatikan. Ahli objektivisme berpendapat bahawa kata pemutus tentang apa yang perlu diajar dan siapa yang patut mengajar adalah dibuat oleh pakar yang semestinya mengetahui segala-galanya. Hal ini menyebabkan ramai murid tidak dapat melihat keperluan belajar sebagaimana yang dapat dilihat oleh pihak pakar. Model autitarian ini menjadikan guru sebagai sumber pengetahuan dan menjadikan guru sangat penting dalam bilik darjah. Murid dan juga orang awam beranggapan bahawa guru mempunyai segala jawapan bagi semua masalah. Sistem ini gagal melahirkan murid yang produktif dan berpengetahuan luas.

Dari pandangan ahli konstruktivisme, setiap murid mempunyai peranan dalam menentukan apa yang akan mereka pelajari. Penekanan diberi untuk menyediakan murid dengan peluang untuk membentuk kemahiran dan pengetahuan mereka untuk menghubungkaitkan pengalaman lampau mereka dengan kegunaan masa depan. Selepas satu sesi perbincangan murid bersama-sama menentukan perkara penting yang harus dipelajari dan tujuan mempelajarinya. Dalam proses ini, murid akan mengalami prosedur yang digunakan untuk menyelesaikan masalah dan memeriksa hasil yang diperoleh. Melalui penggunaan paradigma konstruktivisme, guru perlu mengubah peranannya dalam bilik darjah. Guru mungkin akan berperanan sebagai pelajar atau penyelidik. Dengan cara ini, guru akan lebih memahami bagaimana murid membina konsep atau pengetahuan. Justeru itu guru akan memperolehi kemahiran untuk membina dan mengubahsuai kefahaman serta berkomunikasi dengan orang lain. Guru akan memahami bahawa proses pembinaan dan pengubahsuaian konsep merupakan satu proses berterusan dalam kehidupan.

Dalam paradigma konstruktivisme, murid menganggap peranan guru sebagai salah satu sumber pengetahuan dan bukan sebagai seorang yang tahu segala-galanya. Mereka menganggap pengetahuan sebagai sesuatu yang boleh disesuaikan dan boleh berubah. Mereka juga sedar bahawa mereka bertanggungjawab terhadap diri sendiri untuk menggunakan pelbagai cara bagi memproses maklumat dan menyelesaikan masalah. Dalam erti kata lain, guru adalah berperanan sebagai seorang fasilitator dan pembimbing. Guru bertanggungjawab membimbing dan membantu murid mempelajari sesuatu pelajaran dengan bermakna. Guru tidak boleh belajar untuk murid. Murid perlu membina fahaman sendiri. Kebanyakan teknik penilaian sekarang adalah berdasarkan paradigma objektivisme. Dalam pengujian yang dijalankan, murid akan diuji sama ada dia dapat memberikan jawapan yang dikehendaki oleh penggubal soalan. Oleh yang demikan, soalan-soalan ujian sebenarnya tidak menguji kefahaman dan pengetahuan murid, tetapi hanya menguji kemahiran murid untuk membekalkan jawapan yang dikehendaki oleh penggubal soalan sahaja.

Menurut teori konstruktivisme, penilaian harus merangkumi cara menyelesaikan masalah dengan munasabah dan pengetahuan. Antara teknik-teknik penilaian yang sedemikian ialah peta konsep, rajah venn, portfolio, ujian prestasi dan ujian berpasukan. Pandangan ahli konstruktivisme terhadap disiplin di dalam kelas adalah berbeza dengan ahli objektivisme. Ahli konstruktivisme menganggap peranan guru adalah sebagai pengurus kelas dan boleh menangani hal-hal disiplin murid dengan sempurna. Murid diterima sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza, iaitu setiap individu itu dianggap penting dalam proses pembelajaran dan perlu diberi perhatian yang wajar. Mereka diberikan peluang untuk membuat keputusan sendiri tentang perkara-perkara yang akan mereka pelajari. Melalui proses ini, mereka akan lebih prihatin, bertanggungjawab, dan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran mereka. Sebaliknya, ahli objektivisme berpendapat bahawa guru harus berperanan sebagai pengawal disiplin kelas. Murid tidak ada pilihan kecuali menurut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Mereka yang ingkar akan didenda. Pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan. Di samping itu, guru dapat membuat penilaian kendiri dan menilai kefahaman orang lain supaya kefahamannya tentang sesuatu bidang pengetahuan dapat ditingkatkan lagi.



Perbezaan Objektivisme dan Konstruktivisme Secara Jadual



Objektivisme


Konstruktivisme

pengetahuan wujud secara bebas dan bersifat mutlak.

pengetahuan tidak bersifat mutlak, apa yang diketahui dan faham hanyalah persepsi seseorang terhadap maklumat yang diterima. 


pengetahuan boleh dipindah dari seorang ke seorang yang lain secara pakej. 

pengetahuan tidak dapat dipindah secara keseluruhan kerana setiap manusia mempunyai persepsi tersendiri terhadap sesuatu berdasarkan pengalaman. 


pembelajaran adalah proses penerimaan pengetahuan secara pakej. 

pembelajaran mempunyai perkaitan dengan struktur kognitif, pembentukan skemata, asimilasi, adaptasi dan equilbrium hasil tindakan ke atas maklumat yang diterima


guru merupakan sumber ilmu utama


guru hanya pemudah cara kepada pencapaian ilmu pengetahuan


pengajaran bertujuan menyalurkan ilmu pengetahuan dari guru kepada murid 

pengajaran bertujuan menyusun dan membina konsep dan pengalaman murid semua murid mempunyai keupayaan yang sama untuk mentafsir sesuatu maklumat perbezaan pengalaman murid boleh menyebabkan apa yang mereka faham dan bagaimana mereka membentuk idea hasil maklumat yang diterima adalah berbeza


semua murid dianggap mempunyai tafsiran yang sama dengan guru terhadap apa yang disampaikan oleh guru 


setiap individu mempunyai persepsi yang berlainan terhadap apa yang diajar berdasarkan pengalaman masing-masing 

guru mempunyai kata putus tentang apa yang harus diketahui oleh murid

guru perlu merubah peranan mengikut pengalaman dan kefahaman murid kerana proses pengubahsuaian konsep adalah proses yang berterusan 


murid diuji untuk mengetahui samada beliau dapat merekod dan mentafsir maklumat seperti mana yang diharapkan oleh guru 


murid diuji untuk mengetahui tahap kefahaman dan cara beliau mengendalikan maklumat yang diterima 

murid dianggap bijak apabila mereka memberi respon yang diharapkan oleh guru 


murid dianggap bijak apabila mereka memberi respon yang konstruktif terhadap apa yang dibimbing oleh guru walaupun respon iatu di luar tahap kefahaman guru 


guru dianggap sebagai pengawal disiplin dan penguatkuasa peraturan pembelajaran 

guru dianggap sebagai pengurus kelas yang menangani masalah disiplin murid yang berbeza bagi menyesuaikan mereka dengan tahap kefahaman masing-masing



guru tidak mengharapkan apa-apa pertambahan ilmu atau peningkatan kefahaman tentang bidang yang diajar hasil interaksi dengan murid 



guru turut meningkatkan kefahaman tentang bidang yang diajar hasil interaksi dengan murid



Pendekatan Objektivisme dan Konstruktivisme Berdasarkan Pemerhatian




Objektivisme


Konstruktivisme

Tanggapan Utama

Pengetahuan wujud bebas daripada persekitaran dalaman dan luaran pelajar.

Pengetahuan bukan objektif, apa yang kita benar-benar tahu dan faham hanyalah persepsi kita yang ditentukan oleh kita semua. Pengetahuan tidak mempunyai struktur mutlak.


Kesan

Guru menolong murid membina pengetahuan dan rangka konteks di mana ia wujud. Mereka mengguna analogi, contoh dan pelbagai kaedah mengingat. Mereka tanya soalan untuk membantu murid.

Guru menolong murid membina kefahaman baru dan menolong murid merakamkannya ke dalam struktur kognitif sedia ada. Mereka melakukannya dengan menolong murid membentuk analogi, contoh dan kaedah mengingat murid sendiri, dan guru menolong murid membentuk soalan yang perlu ditanya bagi membimbing mereka ke arah kefahaman yang lebih tinggi.


Respon Guru

"ada perkara yang anda hendak tahu dan saya akan ajar kepada anda apa yang saya tahu"
"Saya ajari ini, mereka belajar ini"
"Pelajar ini sungguh bijak, mereka belajar apa saja yang saya ajarkan"

Ada perkara yang anda hendak tahu dan saya akan tolong anda mengetahui bagaimana anda boleh belajar mengenainya"
"Saya ajar ini, mereka belajar itu"
"Pelajar ini sungguh bijak, mereka belajar perkara yang saya tidak pernah ajar mereka"


Penutup
           
Kesimpulannya, pendekatan konstruktivisme adalah lebih baik dan sesuai digunakan di dalam kelas, khususnya, dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana, murid-murid mempunyai lebih banyak peluang untuk membentuk kemahiran mereka di samping mengaitkan pengetahuan mereka dengan pengalaman latar. Murid akan menyelesaikan sendiri satu-satu permasalahan yang diberikan, iaitu mereka akan membuat keputusan mereka sendiri seterusnya, mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut. Selain itu, melalui pendekatan konstruktivisme, murid-murid akan menganggap peranan guru sebagai salah satu sumber pengetahuan dan bukan sebagai seorang yang serba tahu. Mereka menganggap pengetahuan sebagai sesuatu yang boleh disesuaikan dan boleh berubah. Mereka juga sedar bahawa mereka bertanggungjawab untuk memimpin diri sendiri dan berpeluang untuk menggunakan pelbagai cara bagi memproses makluamt dan menyelesaikan masalah satu-satu permasalahan. Dalam erti kata lain, pendekatan konstruktivisme menunjukkan guru hanya berperanan sebagai seorang fasilitator dan pembimbing dan gaya pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas lebih berpusatkan pelajar dan bukannya guru.


-Dian Adni-


Tiada ulasan:

Catat Ulasan