Jumaat, Mac 9

BMP 2093 : Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu


Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan dan mempunyai corak unik benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak. Berdasarkan sejarah, songket hanya dipakai oleh golongan bangsawan, kerabat diraja, dan orang-orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan keunikan motif dan corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Sejak abad ke-13 lagi, songket telah terkenal di Malaysia dan Indonesia.       

Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mampu mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Sejarah asal usul kain songket tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun, asal usul perkataan songket dikatakan berasal daripada perkataan ‘menyungkit’ kerana dalam bahasa Siam ‘kek’ membawa erti menyungkit selain ‘songkok’ China  membawa maksud yang sama. Mengikut Robyn Maxwell (1990), pengetahuan orang Melayu mengenai teknik songket mungkin diambil daripada orang Cina yang memperkenalkan bahan logam tetapi kehadiran budaya dari Timur Tengah, Parsi, Turki dan Moghul (India) telah memperkukuhkan lagi penghasilannya.

Ramai yang tidak tahu mengenai asal usul songket, tetapi kemungkinannya penenunan songket berkembang di Malaysia melalui perkahwinan antara keluarga diraja, yang merupakan strategi penyatuan biasa sekitar abad ke-15. Songket menggunakan teknik tenunan, di mana benang emas ditenun antara benang sutera pada kain latar. Fabrik yang mewah dan mahal ini menggambarkan struktur sosial dalam kalangan bangsawan Melayu.

Corak dan motif songket memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu sekaligus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya dengan keindahan dan keunikan. Antara corak yang digunakan ialah susunan bunga penuh, bunga bertabur dan susunan bercorak. Manakala motif yang digunakan pula adalah seperti motif  flora. Contoh-contoh bagi motif flora ialah seperti pucuk rebung, tapak manggis, bunga raya, bunga teratai, dan bunga daun sirih. Motif  fauna yang biasa digunakan ialah lawi ayam. Selain itu, motif  alam atau benda juga digunakan dalam menghasilkan motif songket. Contoh motif bagi alam atau benda ialah seperti bintang, rumah, dan bangunan. Bagi motif kuih pula, contoh motif yang selalu digunakan ialah  lopak tikam.

Ragam hias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti kepala, kaki dan badan kain. Penyusunan motif pula terbahagi kepada dua iaitu susunan bunga penuh dan bunga tabur. Motif  kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuhan. Motif  yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun, pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan. Motif-motif reka corak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga-bungaan. Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometrik. Motif-motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penuh, bunga bertabur atau susunan bercorak. Motif pucuk rebung dan lawi ayam juga sering ditempatkan di kepala kain manakala motif ‘awan larat' pula dijadikan sebagai kaki kain  (borderdesign). 


Secara ringkasnya proses menenun songket dimulakan dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng (warp) di permukaan alat tenun yang dipanggil kek tenun. Proses menyungkit dilakukan setelah benang karat butang disediakan. Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.

Proses pertama untuk menenun songket ialah proses mencelup benang. Benang yang digunakan untuk menenun terdiri daripada benang kapas, benang sutera, benang emas, dan benang perak. Benang emas dan benang perak merupakan bahan asli yang tidak perlu diwarnakan. Tujuan gumpalan benang mentah diwarnakan berulang kali adalah untuk mendapatkan warna yang sekata dan tidak mudah luntur.
      Benang perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dicelup ke dalam pewarna. Setelah proses mewarna benang dijalankan, benang tersebut dimasukkan ke dalam kawah berisi air mendidih kemudian dibilas dengan air, dan dijemur sehingga kering sebelum kerja selanjutnya dijalankan.

Proses seterusnya ialah proses melerai benang. Dalam proses ini, sejenis alat yang dinamakan pelenting digunakan untuk melilit benang. Pelenting yang digunakan diperbuat daripada buluh kecil. Benang dileraikan daripada tungkulan besar dengan bantuan alat pemutar rahat dan alat darwin.

Proses ketiga iaitu proses menganeng benang. Benang yang telah dileraikan atau dipintal ke pelenting disusun di atas anian. Benang ditarik mengikut panjang yang dikehendaki berselang-seli mengikut pacak-pacak di batang anian. Proses membuat benang loseng yang diregang di alat penenun adalah untuk menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun.

Dalam proses menggulung, benang yang telah dianian digulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang loseng iaitu mengikut lebar kain yang dikehendaki pada papan gulung. Benang-benang yang diregang di alat menganeng (anian) digulung dengan sekeping papan loseng.

Proses kelima pula ialah proses menyapuk benang. Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kemudian kerja-kerja menyapuk dilakukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera. Selepas itu, benang yang digulung dimasukkan menerusi gigi jentera sebelum dilekatkan ke pesak yang terletak di bahagian depan tempat duduk penenun. Proses ini dilakukan dengan menggunakan sejenis alat dipanggil pengait.

Proses mengarak benang pula dilakukan dengan menggerakkan loseng secara turun naik. Proses ini dimulakan dengan menggerakkan loseng secara bersilih ganti iaitu apabila jijak karak ditekan. Karak diperbuat daripada benang asing yang digelung. Benang loseng berangka genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara berselang seli sewaktu menenun.

Proses ketujuh ialah proses menyongket benang. Proses ini juga dikenali sebagai proses mereka corak di atas benang loseng dengan menggunakan alat yang di panggil lidi iaitu dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudiannya diikat. Proses ini juga dikenali sebagai proses ikat butang. Kerja-kerja menyongket ini dilakukan dengan menyusun lidi atau bilah-bilah nibung melalui celah-celah benang loseng.

Proses seterusnya ialah proses menekat. Proses ini dilakukan dalam dua cara iaitu tekat lima atau tekat tiga. Setelah songket-songket diikat dan lidi-lidi yang digunakan dikeluarkan daripada celah-celah benang. Motif songket kemudiannya dibuat dengan menggunakan benang emas yang diisi ke dalam Cuban. Proses pelancaran Cuban ini dikenali sebagai proses menyulam atau menekat benang emas.

Proses terakhir ialah proses menenun songket. Proses tenunan dilakukan dengan menggunakan alat yang dipanggil kek. Kek terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kaki, badan dan kepala kek yang saling berkaitan antara satu sama lain. Proses menenun ialah dengan melancarkan benang corak ke atas benang loseng. Semasa proses ini dilakukan, penenun mestilah menumpukan perhatian terhadap ragam hias yang bakal ditenun pada kain. Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang telah ditentukan hinggalah menjadi sekeping kain. Kain yang telah siap akan dipotong mengikut saiz.

1. Songket Bunga Dalam
        Songket Bunga Dalam lebih murah dan sesiapa sahaja berkemampuan untuk membelinya. Songket jenis ini terdapat dalam pelbagai warna dan sesuai dipakai ke masjid kerana kainnya yang lebih selesa dipakai.             
2. Songket Samarinda Emas
       Songket Samarinda Emas mempunyai warna latar yang pelbagai. Songket jenis ini ditenun dengan menggunakan benang emas di antara patak. Songket ini juga sesuai untuk semua golongan. Songket jenis ini juga sesuai untuk hantaran pertunangan.           

3. Songket Hitam I              
      Songket Hitam I mempunyai warna latar hitam yang ditenun dengan menggunakan benang emas sahaja dan mempunyai corak penuh. Songket ini sesuai dipakai untuk majlis akad nikah dan majlis-majlis rasmi.    

4. Songket Hitam II            
       Songket Hitam II mempunyai ciri-ciri yang sama seperti Songket Hitam I, tetapi songket jenis ini ditenun dengan 2 jenis benang iaitu benang emas dan perak. Songket jenis ini juga lebih berkilau dan menampakkan keanggunan si pemakai. Songket ini sesuai dipakai untuk majlis akad nikah dan sebarang majlis rasmi.             

5. Songket Benang Pelangi             
      Songket Benang Pelangi mempunyai warna latar yang pelbagai. Songket jenis ini biasanya ditenun dengan benang emas sahaja. Songket ini sesuai dipakai semasa hari raya dan majlis kenduri kendara.

                        6. Songket Jarum Emas                                                                                                       
       Songket Jarum Emas mempunyai warna latar yang pelbagai kerana ditenun dengan tiga jenis benang iaitu benang emas, perak, dan metalik dalam pelbagai corak. Songket ini membuatkan si pemakai tampak lebih menawan dan bergaya. Songket ini juga sesuai untuk mereka yang berkemampuan dan mementingkan penampilan.          
                                                                                                                                          
4.7 Songket Tanah Emas      
       Songket Tanah Emas mempunyai kain latar pelbagai warna yang kemudiannya ditenun pula dengan 2 jenis benang iaitu benang emas dan perak. Songket ini sesuai dipakai oleh semua golongan bukan sahaja semasa berhari raya bahkan semasa majlis kenduri kendara. Si pemakai akan tampak lebih hebat dan bergaya.              

4.8 Songket Benang Pelangi
      Songket Benang Pelangi mempunyai warna latar yang pelbagai kerana ditenun dengan benang berwarna pelangi yang berkilau. Songket jenis ini mampu menyerlahkan seri si pemakai di pagi raya.         

4.9 Songket Mahkota            
       Songket Mahkota mempunyai warna latar yang pelbagai. Corak tenunan pada songket ini berbeza dan unik. Songket ini juga mempunyai tenunan yang halus, bermutu tinggi, dan juga terdiri daripada pelbagai benang.    

4.10 Songket Istana              
       Songket Istana ditenun di atas kain sutera. Songket jenis ini mempunyai warna latar yang lembut dan menawan. Corak tenunan pada songket ini juga sangat unik dan mempunyai tenunan halus yang bermutu tinggi. Songket Istana terdiri daripada pelbagai benang berwarna. Songket jenis ini sungguh lembut apabila dipakai ibarat memegang kapas. Songket ini juga sungguh berprestij, tampak eksklusif dan menjadi idaman kepada penggemar songket.

Pada zaman dahulu songket melambangkan kebesaran golongan diraja. Raja-raja dan pembesar-pembesar istana sahaja yang berkemampuan untuk memakainya. Pada ketika itu, kegunaan songket adalah untuk membuat tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja. Walau bagaimanapun, pada zaman moden ini songket telah digunakan untuk pakaian pengantin, perhiasan dinding, beg tangan, alas meja, barang-barang cenderamata dan sebagainya mengikut keupayaan pengusaha untuk mempelbagaikannya.
      Setelah sekian lama perusahaan songket berkembang di Malaysia, kini corak songket mendapat tempat di hati para arkitek. Terdapat beberapa bangunan pencakar langit telah diterapkan dengan corak songket contohnya Bangunan Perpustakaan Negara Malaysia
      Selain itu, usaha memartabatkan industri songket Malaysia ke persada fesyen tanah air dan seterusnya  antarabangsa  telah  dicetuskan  oleh  Allahyarham  Datin  Seri Endon Mahmood. Perjuangan Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang tidak mengenal putus asa dengan menganjurkan pelbagai program bagi mengembalikan kegemilangan songket Melayu seolah-olah memberi nyawa baru kepada industri seni fabrik yang menjadi identiti masyarakat Malaysia.
      Hakikatnya, pemergian Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood ke rahmatullah disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada industri dan karyawan batik serta songket yang kini menjadi satu sejarah dan warisan negara. Allahyarham sebenarnya merupakan tokoh yang bertanggungjawab mengembalikan semula kesegaran industri batik dan songket bukan sahaja di dalam bahkan di luar Negara. Usaha beliau juga sebenarnya telah berjaya membantu meningkatkan rezeki pengusaha-pengusaha songket dan batik terutamanya pengusaha songket dan batik kecil-kecilan.   

      Sememangnya peranan yang dimainkan oleh Allahyarham dalam menobatkan batik, songket serta kebaya nyonya sekaligus industri fesyen negara amat besar dan akan kekal dalam lipatan sejarah tanah air. Jadi, tentu sekali pemergian mengejut Allahyarham merupakan sesuatu yang sukar diterima oleh mereka yang berkecimpung di dalam industri ini. Kata orang, “hilang sudah rimbun berteduh, patah sudah ranting berpaut”.

1 Pengukuhan Penghayatan Budaya, Seni dan Warisan              
     Bagi memupuk penghayatan yang lebih baik kepada budaya, seni dan warisan dalam kalangan rakyat Malaysia, akses kepada aktiviti kesenian dan kebudayaan akan ditingkatkan manakala penglibatan aktif kesemua komuniti akan digalakkan. Sehubungan ini, Program Merakyatkan Seni dan Budaya yang bertujuan untuk mendekatkan kembali seni kepada masyarakat serta menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan seharian telah dilaksanakan. Aktiviti ini merangkumi aktiviti berkaitan seni tampak seperti penghasilan songket, kraf tangan, persembahan seperti tarian tradisional dan moden, drama, dan muzik yang melibatkan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar.               
     
 Untuk meningkatkan penghayatan seni dan budaya terutamanya di peringkat akar umbi, pelbagai program jangkauan seperti Laman Seni Kuala Lumpur dipergiat dan diperluaskan ke semua negeri. Bagi meningkatkan kesedaran dan penghayatan serta kefahaman dalam seni tampak seperti songket dan persembahannya, beberapa program interaktif melibatkan penyertaan belia, masyarakat dan sektor swasta akan dilaksanakan. Selaras dengan dasar yang diluluskan, langkah bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai pusat budaya dan aktiviti kesenian telah diambil dalam tempoh RMKe-9.
           
2 Pemeliharaan dan Pemuliharaan Produk Warisan                     
      Sebagai satu usaha untuk memupuk kesedaran dan penghayatan yang tinggi terhadap kekayaan warisan budaya negara, Muzium Tekstil telah ditubuhkan pada tahun 2006. Muzium ini membantu menyebarkan pengetahuan dan maklumat serta menggalakkan penyelidikan mengenai tenunan songket dan batik dengan mempamerkan tekstil dari seluruh negara. Muzium ini juga menjadi pusat sumber yang baik kepada pelajar, penyelidik, ahli akademik dan pengusaha.     


3 Pembangunan Industri Kebudayaan Yang Kreatif       
      Malaysia mempunyai sumber budaya yang kreatif dan luas dalam bidang seni persembahan seperti tarian, seni halus, seni tampak seperti songket, kaligrafi Islam dan penulisan Jawi, filem, pendidikan seni, kesusasteraan dan kraf yang boleh dimaju dan diterokai. Dalam tempoh rancangan, potensi ekonomi industri budaya kreatif akan terus dibangunkan melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Bagi memudahkan pembangunan industri ini, kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif.
  Pihak industri digalakkan untuk mengguna pelbagai kemudahan di peringkat negeri seperti pusat kebudayaan negeri dan galeri untuk menjayakan aktiviti mereka. Di samping itu, kerajaan juga menyediakan premis perniagaan kepada usahawan untuk mempromosikan kraf dan barangan keluaran mereka.      

        Promosi dan pemasaran keluaran seni, budaya dan produk warisan di peringkat tempatan dan antarabangsa akan dipergiatkan melalui pelbagai kempen pemasaran dan penganjuran acara antarabangsa yang berprestij. Acara seperti Pesta Kuala Lumpur, Pesta Filem Malaysia, dan Hari Kraf Kebangsaan juga diadakan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kebudayaan.

4
Pengukuhan Program Bina Usaha
     Program bina upaya terus dilaksanakan di Institut Kraf Kebangsaan serta melalui pelbagai program pembangunan usahawan bagi menyumbang kepada pembangunan artisan berkemahiran teknologi bagi menghadapi cabaran masa depan. Satu program khas, iaitu Skim Perintisan Warisan Kraf akan dilaksanakan dalam tempoh rancangan untuk memberi kemahiran di samping memelihara seni dan kraf tradisional.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan, penumpuan yang lebih perlu diberikan untuk mempertingkat peranan budaya dan seni dalam kehidupan rakyat Malaysia serta menggalakkan industri berkaitan budaya dan seni. Penumpuan ini perlu kerana penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian juga menyumbang ke arah pembangunan individu secara menyeluruh, memupuk perpaduan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.
       Sehubungan dengan itu, usaha yang lebih gigih perlu diambil bersama sektor swasta bagi mewujudkan kesedaran dan penghayatan yang lebih baik terhadap kekayaan warisan budaya Negara. Dengan demikian, teras strategik untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan dapat dicapai contohnya memupuk nilai budaya positif dalam kalangan rakyat Malaysia, memperkukuh penghayatan budaya, seni dan warisan dalam kalangan rakyat Malaysia dan  memelihara dan memulihara produk warisan ketara dan tidak ketara. Selain itu, rancangan ini juga membantu memajukan industri kraf dan menggalakkan produk kraf untuk pasaran dunia,   membangunkan industri kebudayaan yang kreatif, dan mengukuhkan program bina upaya bagi memastikan pembangunan budaya, seni dan warisan yang mapan dan berterusan. Oleh itu, warisan melayu seperti songket dapat dikembangkan dan bukannya hanya tinggal sebagai warisan semata-mata.


             -Dian Adni-

 
 
             
                                                                    
                                                                 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan