Isnin, Mac 19

BML 3073 :Sosiolingustik Melayu


Mengapa mereka menyokong PPSMI? 
oleh: Siti Aisyah Binti Asis 

Pengenalan

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan nama rasmi bagi salah satu daripada dasar pendidikan negara yang menetapkan bahasa Inggeris bagi menggantikan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda kita sebagai bahasa perantaraan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI telah termaktub sebagai salah satu keputusan dasar kerajaan Malaysia. Dasar ini merupakan hasil kata putus daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, iaitu pada 19 Julai 2002. Pelaksanaan dasar PPSMI dilakukan  secara berperingkat-peringkat, iaitu bermula pada sesi persekolahan tahun 2003. Tapak perintis bagi dasar ini ialah semua pelajar Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan pelajar Tingkatan 1 serta pelajat Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah. Dasar PPSMI yang dilaksanakan secara penuh pula bermula pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah manakala peringkat Sekolah Rendah pula, iaitu pada tahun 2008. Rasionaliti dalam peralihan bahasa pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, iaitu daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris merupakan ekoran daripada keprihatinan kerajaan. Kecaknaan pihak kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan sebagai langkah awal untuk mempersiapkan generasi muda agar dapat bersaing dalam era globalisasi.

Seperti yang kita tahu, bidang Sains dan Matematik merupakan salah satu bidang yang menjadi asas kepada perkembangan Sains dan Teknologi, malah juga berperanan penting dalam aspek kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Kepelbagaian inovasi dan hasil penemuan baharu dalam bidang ini berlaku dengan pantas. Bukan itu sahaja, capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini sama ada dalam bentuk elektronik atau bukan elektronik juga majoritinya dalam bahasa Inggeris. Di samping itu, oleh sebab bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa, sekiranya tahap penguasaan bahasa Inggeris kita lebih tinggi, maka hal ini akan menjadi satu kelebihan kepada kita, seterusnya membantu dan memudahkan kita untuk memperoleh pelbagai bidang  ilmu antaranya seperti bidang sains dan teknologi. Sehubungan dengan itu, generasi muda khususnya pelajar dapat mengakses dan menerokai pelbagai maklumat berkaitan dengan mudah dan berkesan. Oleh sebab pihak kerajaan berharap agar generasi muda dapat menguasai bidang Sains dan Teknologi serta bidang Sains dan Matematik secara mendalam, maka pihak kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan dasar PPSMI. Hal ini demikian kerana, sebahagian besar daripada sumber maklumat dalam bidang ini adalah dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, dengan pelaksanaan dasar PPSMI, pihak kerajaan berharap agar penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar akan meningkat. Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar PPSMI ini perlu dilihat secara dwi dimensi. Hal ini bermaksud, terdapat golongan yang melihat dasar ini dari perspektif positif dan ada juga yang melihatnya dari perspektif negatif, yakni terdapat golongan yang menyokong dan menentang pelaksanaan dasar ini. Sebagai seorang yang berpandangan jauh, kita perlu mengambil tahu dan meneliti secara terperinci berkaitan kewajaran yang terkandung dalam dasar ini dan menganalisis keberkesanannya bukan sahaja untuk tempoh terdekat  malah untuk tempoh jangka panjang. Selain itu, keberkesanan itu juga perlulah dilihat secara menyeluruh dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi.

Latar belakang dasar PPSMI

            Nama besar yang mendukung pelaksanaan dasar PPSMI ialah mantan perdana menteri Malaysia, iaitu YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Menurutnya, ketika beliau mencadangkan dasar PPSMI ini, beliau berpendapat bahawa negara kita Malaysia semakin ketinggalan dalam arus globalisasi. Oleh itu, dengan pelaksanaan dasar PPSMI beliau berharap agar dasar ini akan memberikan pelbagai kelebihan kompetetif kepada negara. Beliau menginginkan negara kita, Malaysia mencontohi kejayaan negara Singapura dan India yang hari ke hari semakin melangkah jauh ke depan ekoran daripada memanfaatkan bahasa Inggeris dalam perkembangan negaranya. Selain itu, beliau berpendapat bahawa masyarakat khususnya kaum Melayu wajar mempunyai kekuatan bahasa lain, misalnya dapat menguasai bahasa Inggeris seperti kaum Cina dan India.

Pendekatan yang digunakan oleh kerajaan dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang dimulakan sejak tahun 2003 merupakan salah satu daripada penstrukturan semula cara berfikir, sikap, dan strategi dalam mendepani globalisasi. Pengenalan dasar ini juga adalah ekoran daripada hakikat bahawa bidang Sains dan Matematik merupakan salah satu bidang ilmu yang sangat dinamik dengan pelbagai penemuan baharu. Sebagai contoh, bidang Matematik merupakan salah satu bidang atau mata pelajaran penting dalam kurikulum di sekolah. Sebelum ini terdapat beberapa kajian yang dilakukan secara langsung dan tidak langsung ke atas justifikasi Matematik di sekolah. Berdasarkan hasil kajian tersebut, kebanyakan pendapat tokoh seperti Christiansen, Howson, dan Otte menyatakan bahawa untuk membolehkan individu tersebut berfungsi secara efektif pada abad ke-21 dan abad seterusnya, individu itu haruslah mempunyai kefahaman yang baik dalam bidang Matematik. Secara keseluruhannya, kewajaran pelaksanaan dasar PPSMI ini ialah ekoran daripada kepentingan bahasa Inggeris dalam melahirkan warganegara Malaysia khususnya generasi muda yang mampu bersaing dengan negara lain dalam era globalisasi. Walau bagaimanapun, sejak pelaksanaan dasar ini, terdapat banyak tentangan, bidasan, dan kritikan yang dilontarkan oleh pihak atau golongan yang menentang dasar PPSMI ini. Golongan yang menentang pelaksanaan dasar ini sememangnya banyak melontarkan kritikan mereka berbekalkan bukti-bukti kukuh hasil daripada kajian-kajian yang telah dijalankan. Walau bagaimanapun, golongan yang mendukung dan menyokong dasar PPSMI ini juga mempunyai rasionalitinya yang tersendiri yang perlu diketahui oleh semua pihak.

Rasionaliti umum dasar PPSMI

Golongan yang mendukung atau menyokong dasar PPSMI, iaitu bersetuju sekiranya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris ini kerana mereka melihat dan meneliti dari aspek tanggungjawab kerajaan dalam pembangunan negara dan kebolehan bersaing dalam era globalisasi. Untuk mencapai matlamat ini, aspek pembangunan tenaga manusia diangkat naik sebagai agenda yang paling utama. Hasrat kerajaan adalah untuk membangunkan generasi muda khususnya pelajar yang mampu menguasai bidang sains dan teknologi pada tahap yang tinggi, seterusnya berupaya untuk menjana ilmu dan teknologi baru dalam bidang-bidang tersebut pada masa akan datang sekaligus menyumbang kepada himpunan harta intelektual negara dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan ini. Tidak dapat kita nafikan bahawa bidang Sains dan Matematik memainkan peranan dan menjadi asas penting dalam kemajuan dan pembangunan negara. Perkembangan ilmu dan maklumat dalam kedua-dua bidang ini berlaku dengan sangat cepat dan pelbagai inovasi. Selain itu, penemuan baru juga berlaku hampir setiap hari dan dari semasa ke semasa, iaitu melalui penyelidikan dan pembangunan. Kini, sebahagian besar daripada maklumat terkini mengenai perkembangan dalam bidang ini sama ada dalam bentuk elektronik atau bukan elektronik kebanyakannya terdapat dalam bahasa Inggeris. Dengan ini, pendedahan awal kepada bidang Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan membolehkan pelajar mengakses maklumat malah membantu mereka untuk menerokainya dengan lebih mendalam.

Golongan pendukung atau penyokong PPSMI ini memandang luas atau secara stereostopik berkaitan dasar PPSMI ini. Mereka melihat bahawa pada era ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling banyak digunakan di peringkat global. Kegagalan dalam menguasai bahasa yang dipersetujui sebagai paling penting digunakan dalam teknologi dan kommersial ini akan merugikan negara. Tanpa penguasaan bahasa Inggeris yang baik sejak peringkat sekolah rendah, dikhuatiri hal ini akan menjadi masalah ketika di peringkat pendidikan lanjutan, termasuklah peringkat universiti. Kebanyakan keluaran universiti yang sedang mencari pekerjaan terutama sekali dalam sektor syarikat multinational (MNC) sememangnya menampakan kesukaran. Hal ini kerana, kemampuan dan penguasaan mereka untuk berkomunikasi dan mengaplikasikan pengetahuan mereka semasa di universiti amat terbatas, terutama sekali sebilangan besar bahan rujukan utama adalah dalam bahasa Inggeris. Sehubungan dengan itu, atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia dan hasrat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju di samping sebagai persiapan awal untuk bersaing dalam era globalisasi, maka mereka beranggapan bahawa pelaksanaan dasar PPSMI ini ada kewajarannya.

Walaupun lebih ramai pihak yang menganggap pelaksanaan dasar PPSMI ini mendatangkan banyak keburukan dan memandangnya hanya dalam versi kelemahan tetapi bagi golongan pendukung atau penyokong PPSMI, dasar ini sebenarnya mempunyai kelebihannya yang mungkin tidak dapat dilihat dalam masa terdekat tetapi hasilnya dapat diraih pada masa 10 tahun akan datang. Melalui pelaksanaan dasar PPSMI, generasi muda khususnya pelajar dijangka akan menjadi lebih bersedia mendepani cabaran pada masa-masa mendatang. Hal ini demikian kerana, mereka tidak akan mudah merasa gementar untuk menempuhi alam pengajian yang lebih tinggi dan semakin sukar begitu juga dalam alam pekerjaan. Tidak perlu mengambil contoh akan datang, cukup melihat senario pada hari ini sahaja, kebanyakan sektor-sektor atau lubuk-lubuk pekerjaan memberi keutamaan kepada pekerja yang mempunyai pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris yang baik berbanding pekerja yang mempunyai kelebihan-kelebihan lain. 

Selain itu, dasar PPSMI juga bertujuan untuk menyedarkan rakyat Malaysia khususnya generasi muda tentang kepentingan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini. Hal ini juga sekali gus akan membantu meningkatkan pemahaman dan mengelakkan salah faham dalam kebanyakkan istilah Sains dan Matematik yang diguna pakai untuk pembelajaran pada hari ini. Melalui pelaksanaan dasar PPSMI, pelajar dapat mempelajari bidang Matematik, Sains dan bahasa Inggeris sehingga pada tahap yang lebih luas dan mendalam bukan sahaja pada masa ini malah pada masa akan datang.

Melalui pelaksanaan dasar PPSMI juga, pihak kerajaan berharap agar negara kita Malaysia mampu melahirkan lebih ramai cerdik pandai dalam ketiga-tiga bidang ini, iaitu pakar Matematik, pakar Sains dan juga pakar bahasa Inggeris, di samping dapat melahirkan generasi yang mempunyai daya saing yang tinggi. Pelaksanaan dasar PPSMI juga sebenarnya membantu pelajar untuk memahirkan diri untuk berkomunikasi dan memahami istilah-istilah dalam bahasa Inggeris dan secara tidak langsung membantu untuk meningkatkan prestasi pelajaran mereka dalam mata pelajaran lain yang diajar dalam bahasa Inggeris. Sejak dasar PPSMI dilaksanakan, sebenarnya terdapat hasil positif yang diraih namun kurang didedahkan. Sebagai contoh, kualiti pelajar Melayu yang dihantar ke negara luar khususnya negara Barat telah pun menampakkan kadar peningkatan yang membanggakan dalam bidang Aplikasi Sains dan Teknologi. Mereka dilihat mampu untuk bersaing dalam meraih dan menjana maklumat dan ilmu yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Bukan itu sahaja, mereka juga mengakui bahawa dengan adanya penguasaan bahasa Inggeris yang baik sangat membantu mereka untuk mengaplikasikan ilmu dalam bidang Sains dan Teknologi di samping dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan tahap keyakinan yang lebih tinggi seterusnya mempamerkan keterampilan dan jati diri bangsa Melayu yang berilmu.

Rasionaliti utama pencetus dasar PPSMI

            Seperti yang kita sedia maklum, pencetus utama dasar PPSMI ialah mantan Perdana Menteri kita, iaitu YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Dari sudut pandangan beliau secara peribadi, dasar PPSMI ini mempunyai kewajarannya yang tersendiri sehingga membawa beliau untuk melaksanakannya kerana beliau berpandangan bahawa hasilnya akan dapat dilihat pada masa akan datang. Beliau mencadangkan agar mata pelajaran Sains dan Matematik ini perlu diajar dalam bahasa Inggeris kerana bidang Sains dan Matematik merupakan bidang ilmu yang sentiasa bertambah dan berkembang dari semasa ke semasa. Menurut beliau, kebanyakan hasil kaji selidik yang dijalankan di seluruh dunia dihasilkan dalam bahasa Inggeris. Beliau mengakui dan tidak meremehkan keupayaan bangsa kita untuk menterjemah ilmu atau sumber maklumat tersebut ke dalam bahasa kebangsaan tetapi terjemahan tersebut belum cukup untuk membantu kita memahami teori dan mengaplikasikan kemajuan Sains tersebut khususnya dalam bidang penciptaan dan pembuatan seperti dalam industri automotif misalnya.

Untuk menterjemah sesuatu bahan maklumat, kita perlu memahami isi penulisan bahan terlebih dahulu. Untuk  bahan yang ditulis dalam bahasa Inggeris, kita memerlukan seseorang yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya peringkat Phd dalam bahasa Inggeris dalam bidang-bidang khusus. Namun demikian, di Malaysia, tidak ramai saintis yang belajar dalam bahasa Melayu yang boleh menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan ini. Menurut beliau lagi, tidak banyak buku berkenaan tajuk-tajuk dalam bidang Sains dan Teknologi ini dalam bahasa Melayu. Pengajaran sains perubatan misalnya, juga menggunakan buku rujukan Inggeris walaupun syarahan atau sesi kuliah dibuat dalam bahasa Melayu. Untuk peringkat lepasan ijazah misalnya dalam pelbagai kepakaran perubatan, bahasa Inggeris sangat digunakan. Walaupun terdapat pensyarah yang menyampaikan syarahan dalam bahasa Melayu dalam bidang-bidang pakar ini, mereka tetap belajar kepakaran ini dalam bahasa Inggeris. Mungkin juga terdapat golongan yang belajar Sains di peringkat rendah dalam bahasa Melayu dan mampu mengikuti syarahan dalam bahasa Inggeris diperingkat ijazah pertama, tetapi untuk kelulusan yang lebih tinggi penguasaan bahasa Inggeris sangat di perlukan. Untuk mengambil bahagian dalam seminar atau konferens bahkan untuk berhujah di peringkat antarabangsa, bahasa Inggeris sangat di perlukan. Cetusan dasar PPSMI ini disebabkan beliau tidak ingin orang Melayu itu jauh ketinggalan hanya atas kapasiti semangat nasionalisme terhadap bahasa kebangsaan. Menurut beliau, aspek nasionalisme itu meliputi kejayaan bangsa kita sebagai orang Melayu yang setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Untuk memajukan diri, jika kita terpaksa menguasai bahasa Inggeris dan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sepertimana orang Arab belajar bahasa Greek untuk mendapat ilmu orang Greek, juga sepertimana orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab untuk mempelajari ilmu orang Arab pada kurun ke-15 Masihi, kita harus dan patut lakukannya.

Selain itu, menurut beliau juga, dasar PPSMI ini wujud bukanlah disebabkan beliau memandang rendah atau menidakkan kebolehan bahasa Melayu sehinggakan ada pihak yang mengandaikan bahawa dasar ini akan menjejaskan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan namun beliau ingin menyedarkan kita bahawa apa-apa yang kita pelajari itu bukan hanya membantu mengembangkan bahasa tetapi juga membantu kita menguasai pelbagai jenis bidang ilmu. Bukan itu sahaja, beliau ingin kita sedar bahawa bidang Sains dan Matematik itu sebenarnya tidak membantu dalam perkembangan bahasa. Hal ini demikian kerana, istilah-istilah dalam bidang Sains dan Matematik itu sendiri diambil daripada bahasa Latin yang diterjemakan kepada bahasa Inggeris.

Seterusnya, beliau juga berpendapat bahawa bahasa sesuatu bangsa hanya akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokainya. Sebagai contoh, sebelum abad ke-15 Masihi, orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu sangat gah dan amat dihormati. Walau bagaimanapun, selepas orang Islam mengabaikan bidang Sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab, sebaliknya orang Arab dan Islam pula terpaksa belajar bahasa Eropah. Menurut beliau, jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas sehingga ke peringkat antarabangsa kita perlu memajukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu terlebih dahulu. Tujuan kita mempelajari Sains dan Matematik adalah untuk memajukan bangsa kita agar pada masa akan datang kita juga dapat terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kaji selidik yang dilakukan oleh bangsa kita sehingga membawa orang lain untuk belajar bahasa kita dengan tujuan untuk mendapatkan ilmu yang telah kita terokai. Seperti yang kita sedia maklum, penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Oleh itu, janganlah kita memperjudikan masa depan generasi muda hanya kerana begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang akan bahasa tidak boleh melebihi sayang akan bangsa. Mereka yang menyayangi bangsa, mereka ingin melihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati di seluruh dunia. Tidak cukup hanya kerana boleh bertutur kata dalam bahasa sendiri, kita akan menjadi bangsa yang dihormati dan disegani.

Kesimpulan
            
Dasar PPSMI perlu dilihat dari dua dimensi, iaitu dari perspektif positif juga perspektif negatif. Hal ini demikian kerana, dasar ini terkandung kewajaran yang mendukung rasionalitinya begitu juga dengan ketidakwajarannya. Oleh sebab itu wujudnya golongan yang mendukung atau menyokong dan golongan yang menentang pelaksanaan dasar PPSMI. Secara keseluruhannya, golongan yang mendukung atau menyokong dasar PPSMI adalah disebabkan oleh penekanan terhadap kepentingan bahasa Inggeris dalam menguasai Sains dan Matematik. Sokongan mereka lebih menjurus kepada faktor kedudukan bahasa Inggeris yang semakin menguasai dunia ilmu pengetahuan dan memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan masa depan generasi muda dan negara pada masa akan datang. Secara umum juga, mereka menyokong atau mendukung dasar PPSMI kerana gambaran mereka terhadap perana bahasa Inggeris pada era ini yang juga membantu melahirkan masayarakat yang mampu bersaing di peringkat globalisasi. Namun demikian, sebanyak mana pun rasionaliti yang dinyatakan oleh golongan pendukung atau penyokong dasar PPSMI, pelaksanaan dasar ini tetap mendapat tentangan hebat dan dapat dibidas dengan sebab-musabab dan bukti kajian yang juga menampakkan rasionalitinya. Sebagai contoh, antara kajian yang menjadi bahan bidasan terhadap rasionaliti pelaksanaan dasar PPSMI ialah kajian yang dibuat oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina),  kajian daripada Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007), kajian yang dilakukan oleh Prof Dr Nor Hashimah Jalaludin, dan kajian daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Kini, kita tertunggu-tunggu pula dengan keputusan muktamad yang bakal diputuskan oleh pihak kerajaan sama ada dasar PPSMI ini akan dikuburkan atau dibiarkan berkembang mekar sehingga dapat menuai hasilnya. Apa-apapun keputusan yang bakal diambil oleh pihak kerajaan berkaitan dasar PPSMI ini, kita hendaklah menerimanya dengan hati yang terbuka dan berfikiran positif. Diharapkan agar pihak kerajaan dapat menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya dan mengambil kata putus yang terbaik demi kepentingan anak bangsa kita dan kemajuan negara kita Malaysia. Semoga keputusan yang bakal diambil nanti merupakan kata putus yang memberikan manfaat dan kebaikan kepada semua pihak bak kata pepatah menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Seterusnya, janganlah disebabkan perbezaan pendapat dalam isu PPSMI ini menjadikan kita saling bertelingkah sesama sendiri sehingga meletakkan bangsa kita dalam gelombang perpecahan sedangkan orang luar bertepuk tangan dan menunggu masa untuk mengambil kesempatan.







-Dian Adni-


Tiada ulasan:

Catat Ulasan