Rabu, Mac 14

BML 2163: Psikolinguistik

Setiap kanak-kanak mempunyai salah satu daripada sembilan kecerdasan. Walau bagaimanapun, terdapat juga kanak-kanak yang mempunyai lebih daripada satu kecerdasan tersebut dan antara kecerdasan-kecerdasan yang dianugerahkan iaitu kecerdasan linguistik, logik matematik, seni visual, muzik, kemahiran interpersonal, kemahiran intrapersonal, dan kemahiran spiritual. Namun demikian, kemahiran spiritual (SQ) dapat diajar dan dipelajari oleh kanak-kanak. Hal ini dinyatakan oleh ahli psikolinguistik Amerika Syarikat, Elizabert B.Hurlock yang menyatakan bahawa pada tahap usia kanak-kanak merupakan tempoh keemasan dalam proses perkembangan kanak-kanak. Pada usia tersebut mereka mengalami perkembangan yang luar biasa baik dari segi fizikal, emosional, dan sosial sehingga mereka dapat mempelajari apa-apa sahaja.

Mendidik kanak-kanak untuk memperoleh SQ sangat penting kerana terdapat ramai orang yang mempunyai IQ an EQ yang tinggi tetapi tidak mempunyai akhlak dan moral yang baik. Keadaan ini dapat ditangani apabila guru dan kerjasama ibu bapa bersama-sama memberi penekanan dalam aspek SQ iaitu dengan mendidik dan menerapkan unsur-unsur nilai murni. Hal ini diharapkan dapat memupuk sikap dan akhlak yang baik dalam diri kanak-kanak bermula dari awal usia lagi bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dapat diterapkan dalam diri kanak-kanak bukan sahaja melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara formal tetapi juga melalui cara memberi teladan hidup melalui kaedah bercerita.   

Anak-anak adalah aset penting bagi ibu bapa dan berada di bawah jagaan ibu bapalah anak-anak akan tumbuh membesar berdasarkan corak-corak yang dilakarkan oleh ibu bapa. Namun demikian, apabila di sekolah, para guru juga bertanggungjawab membentuk dan mendidik kanak-kanak tersebut. Dalam usia lima tahun pertama yang juga disebut the golden years, kanak-kanak mempunyai potensi yang sangat besar untuk berkembang. Menurut analisis psikologi perkembangan kanak-kanak menyatakan bahawa usia tersebut merupakan tempoh paling sesuai untuk membentuk keperibadian kanak-kanak kerana pada tempoh tersebut, perkembangan personal sosial dan moral kanak-kanak senang dibentuk. Pembentukan keperibadian dengan meletakkan penerapan syarat nilai-nilai murni melalui kaedah-kaedah kreatif dan efektif.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, terdapat masalah yang telah dikenal pasti. Masalah tersebut ialah kurangnya kesedaran tentang keupayaan kaedah bercerita dalam penerapan nilai-nilai murni untuk membentuk peribadi positif dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian yang dijalankan adalah bertujuan untuk mengupas lebih lanjut mengenai penerapan nilai-nilai murni melalui kaedah bercerita dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, objektif yang cuba dicapai ialah mendefinisikan konsep kaedah bercerita dan menganalisis unsur-unsur penting dalam kaedah bercerita yang kreatif dan efektif agar nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam diri kanak-kanak.

Dalam kajian yang telah dijalankan, terdapat beberapa persoalan yang timbul. Antaranya ialah, apakah maksud bercerita? dan apakah unsur-unsur penting dalam kaedah bercerita yang kreatif dan efektif?

Kaedah kajian yang telah digunakan untuk mengupas tajuk tugasan tersebut ialah kaedah secara kualitatif iaitu pencarian maklumat berdasarkan buku-buku yang berkaitan yang diperolehi di Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI, sumber melalui internet iaitu dengan melayari laman sesawang yang berkaitan.

Konsep Bercerita

Cerita pada kebiasaannya terdiri daripada serangkai peristiwa yang saling berkaitan dalam satu tempoh waktu yang di dalamnya terdapat watak-watak tertentu. Unsur penting yang terdapat dalam cerita ialah mesej yang ingin disampaikan sangat jelas dan difahami. Nilai-nilai murni yang terkandung dalam cerita dapat diambil untuk dijadikan mutiara kehidupan dan iman yakni panduan dalam hidup agar dapat membentuk peribadi yang positif.

Cerita sememangnya sangat berperanan dalam membantu membentuk peribadi kanak-kanak. Hal ini disebabkan, cerita memainkan peranan yang sangat signifikan bukan hanya dalam perkembangan bahasa kanak-kanak tetapi juga perkembangan emosional dan psikologi mereka. (Wals, 1993 dalam Sarumpaet, 2003) Cerita dan rangkaian kisah yang disampaikan dalam bahasa yang berstruktur dengan kosa kata yang tepat amat mempengaruhi kemampuan dan penguasaan bahasa kanak-kanak. Cerita juga membantu memperkaya daya imaginasi kanak-kanak, mengembangkan fikiran, dan meningkatkan pengalaman kanak-kanak berdasarkan nilai-nilai yang terdapat dalam cerita.

Kaedah Bercerita dan Penerapan Nilai

Antara teknik yang berkesan untuk kanak-kanak diterapkan nilai-nilai murni adalah melalui kaedah tontonan kisah atau cerita di televisyen yang boleh dijadikan alat bantuan mengajar oleh guru-guru di sekolah. Teknik ini merupakan antara teknik yang berkesan kerana televisyen merupakan pengaruh yang kuat dalam diri kanak-kanak dan tontonan televisyen juga telah didedahkan kepada kanak-kanak sejak kecil lagi. Setiap pembentukan kanak-kanak, kesan daripada tontonan televisyen terut mempengaruhi pembentukan dan perkembangan minda atau perlakuan kanak-kanak selain daripada pengaruh rakan sebaya, ahli keluarga dan diri sendiri.

Sebagai contoh, kisah Upin dan Ipin merupakan salah satu penceritaan yang menarik dan mempunyai nilai-nilai moral serta nilai-nilai murni, bukan sahaja untuk kanak-kanak malah sesuai juga bagi peringkat remaja mahupun belia atau orang dewasa. Kisah ini mempunyai pelbagai nilai-nilai murni yang boleh dijadikan teladan, pengajaran, peringatan mahupun panduan dalam kehidupan seharian. Melalui nilai murni yang diserapkan dalam kisah Upin dan Ipin ini amat berkesan untuk diterapkan dalam diri kanak-kanak.
Antara nilai yang terdapat dalam kisah Upin dan Ipin ialah baik hati. Nilai baik hati yang dimaksudkan ialah mempunyai sifat belas kasihan dan bertimbang rasa. Belas kasihan bermaksud bersimpati terhadap kesalahan orang lain. Bertimbang rasa pula ialah mengambil kira keperluan dan perasaan orang lain. Sifat-sifat ini telah banyak ditunjukkan dan dipaparkan dalam kisah Upin dan Ipin ini. Antaranya sikap ini telah ditonjolkan dan dipaparkan serta dimainkan peranannya oleh Kak Ros iaitu kakak kepada Upin dan Ipin. Kak Ros mempunyai sifat nilai-nilai murni yang tinggi seperti baik hati, bertimbang rasa dan perasaan belas kasihan terhadap adik-adiknya. Meskipun Kak Ros seringkali menyakat dan mendengki adik-adiknya, namun di sebalik kelakuannya itu, Kak Ros mempunyai hati yang sangat baik sebagai seorang kakak.

Hal ini jelas menunjukkan, seharusnya nilai-nilai baik hati ini harus diterapkan dalam diri kanak-kanak khususnya kanak-kanak tadika. Pada peringkat usia sebeginilah, kanak-kanak lebih mudah untuk dibentuk dan dilentur agar menjadi insan yang berakhlak dan mempunyai budi pekerti yang mulia. Nilai-nilai murni seperti baik hati, belas kasihan dan bertimbang rasa ini harus dipupuk dalam diri kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak tadika, khususnya di sekolah tadika atau prasekolah, mereka boleh dididik menerusi cikgu-cikgu yang mengajar. Melalui alat bantuan mengajar seperti tontonan cerita atau kisah-kisah teladan yang disediakan oleh guru-guru dapat membantu kanak-kanak tadika ini untuk mentafsir nilai-nilai yang terkandung dalam cerita atau kisah yang disediakan oleh guru dengan bantuan dari guru-guru ang mahir.

Di peringkat sekolah tadika ini, guru-guru memainkan peranan penting untuk menanamkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak ini. Menerusi nilai baik hati yang merangkumi perasaan belas kasihan dan bertimbang rasa ini perlulah ditunjukkan dan dicontohi oleh guru-guru untuk ditonjolkan dan dipamerkan kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, sekiranya kanak-kanak ini melakukan kesalahan. Kesilapan atau berkelakuan tidak baik, guru-guru tidak seharusnya segera menghukum mereka. Tindakan ini akan meneybabkan kanak-kanak akan merasa takut dan hilang rasa hormat akan guru-guru mereka.

Guru-guru haruslah bersikap terbuka, mempunyai kesabaran yang tinggi dan tidak mudah melenting atau melatah dengan sikap kanak-kanak ini. Hal ini kerana kanak-kanak tidak dilahirkan untuk sentiasa berkelakuan dan bertindak positif sehingga dewasa bagi melahirkan rasa puas hati terhadap orang lain.

Oleh itu, guru-guru haruslah bijak untuk mengawal keadaan kanak-kanak yang berkelakuan kurang atau tidak baik dan melakukan kesalahan ini sebagai cabaran kepada guru-guru untuk bertindak dan berfikiran bijak untuk mengawal keadaan kanak-kanak terbabit. Bagi kanak-kanak yang melakukan kesalahan sedemikian, guru-guru haruslah menyelidiki kanak-kanak tersebut tentang sebab kanak-kanak tersebut berkelakuan sedemikian dan bertimbang rasa akan hal yang telah dilakukannya. Akhirnya, memaafkan kesalahan kanak-kanak tersebut dan disusuli dengan kata-kata nasihat yang dapat memeberikan semangat kepada kanak-kanak tersebut. Secara tidak langsung, hal ini dapat meyakinkan kanak-kanak tersebut bahawa guru tersebut sebenarnya sayang akan dirinya sekaligus dapat menyedarkan diri kanak-kanak tersebut agar tidak lagi mengulangi kesalahannya.

Melalui contoh sedemikian, kanak-kanak tutur dapat diterap nilai-nilai murni ini sekiranya situasi yang sama berlaku oleh kanak-kanak tersebut bersama rakan-rakannya. Jika rakan-rakan mereka melakukan kesalahan, mereka juga tidak seharusnya menghukum rakan-rakan mereka, tetapi menjadikan sikap dan tingkah laku cikgu itu sebagai contoh. Menerusi sikap cikgu yang baik hati, bertimbang rasa dan belas kasihan terhadap kanak-kanak ini, seterusnya kanak-kanak tadika ini turut dapat diserapkan nilai-nilai murni ini bukan sahaja pada rakan-rakan mereka malah kepada ahli keluarga dan orang sekeliling.

Nilai kedua ynag ditonjolkan ialah nilai kasih sayang. Nilai kasih sayang ini telah banyak dipaparkan dan ditonjolkan dalam kisah Upin dan Ipin. Hampir setiap watak yang dimainkan dalam kisah ini mempunyai nilai kasih sayang. Pelbagai konteks yang boleh dihubungkan oleh kanak-kanak untuk menunjukkan nilai kasih sayang oleh mereka. Antaranya ialah kasih sayang terhadap diri sendiri, ibu bapa, ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru, jiran tetangga dan sebagainya.

Kasih sayang yang dimaksudkan ialah sayang akan diri sendiri dan sayang akan orang lain yang berada di sekeliling. Nilai kasih sayang ini perlulah diterapkan dalam diri kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini haruslah diserapkan nilai sayang akan diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyayangi insan lain. Nilai sayang akan diri sendiri lebih mudah dieertikan sebagai tidak melakukan perkara-perkara yang negatif dan merugikan diri sendiri. Sayang akan diri sendiri dapat memupuk kanak-kanak untuk bersikap dan berkelakuan positif.

Bagi memupuk nilai kasih sayang ini, pelbagai pihak memainkan peranan penting. Seharusnya nilai-nilai murni ini dipupuk dan diserapkan sejak kecil lagi, bukan sahaja dari peringkat sekolah tadika. Di peringkat sekolah tadika, nilai-nilai ini seharusnya lebih banyak diterapkan kerana kanak-kanak lebih banyak berhubung dan berkomunikasi.

Sebagai contoh, dengan guru-guru dan sahabat handai. Sebelum kanak-kanak melangkah ke alam persekolahan, ibu bapa dan ahli keluarga lebih banyak memainkan peranan untuk membentuk sikap dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak. Ibu bapa haruslah menjadi contoh kepada kanak-kanak ini kerana ibu bapa merupakan orang yang terdekat untuk mereka jadikan rujukan dan contoh untuk mereka ikuti selain daripada pengaruh-pengaruh lain. Ibu bapa seharusnya menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap sesama ahli keluarga dan memeberi tunjuk ajar kepada anak-anak supaya sama-sama menerapkan nilai kasih sayang terhadap sesama ahli keluarga, adik beradik, jiran tetangga dan sebagainya sebelum anak-anak ini menjejakkan kaki ke sekolah.

Apabila di peringkat sekolah pula, khususnya sekolah tadika, kanak-kanak ini pula dididik dan diberi tunjuk ajar oleh guru-guru tadika mereka, supaya diterapkan tentang nilai-nilai murni ini dan khususnya berkaitan dengan nilai kasih sayang ini. Di sekolah, kanak-kanak lebih banyak berhubung dan berkomunikasi dengan guru-guru dan rakan-rakan. Oleh itu, guru-guru di sekolah ini memainkan peranan terhadap kanak-kanak ini agar mereka mempunyai perasaan untuk menyayangi guru-guru dan rakan-rakan mereka di sekolah.

Menerusi alat bantuan mengajar mnerusi kisah Upin dan Ipin ini, guru-guru dapat menerapkan nilai kasih sayang terhadap kanak-kanak tadika ini dengan contoh-contoh watak yang dipaparkan dan ditonjolkan dalam kisah ini seperti watak Upin dan Ipin bersama guru dan rakan-rakannya. Melalaui alat bantuan mengajar ini dapat membantu guru supaya dapat menerangkan kepada kanak-kanak akan gambaran situasi yang seharusnya dilakukan oleh kanak-kanak tadika ini agar mereka mempunyai nilai-nilai murni itu.

Selain mempunyai nilai kasih sayang terhadap diri sendiri dan orang lain, kanak-kanak ini juga harus dididik dan diterapkan nilai untuk menyayangi alam sekitar. Menyayangi alam sekitar adalah bertujuan untuk memelihara dan memulihara kehidupan flora dan fauna untuk kesejahteraan hidup. Guru-guru di sekolah turut memainkan peranan dalam hal ini.

Sebagai contoh, guru-guru mengajak dan mengajar kanak-kanak untuk bercucuk tanam, menanam bunga, pokok dan sebagainya. Sambil melakukan aktiviti ini, guru-guru juga perlu menerangkan akan kebaikan untuk manusia berbudi kepada tanah dan melakukan kebaikan terhadap flora dan fauna serta hidupan di alam bumi. Aktiviti-aktiviti ini yang bersifat aktiviti luar bilik darjah sangat berkesan dan mampu mengembangkan minda dan meningkatkan tahap pemikiran kanak-kanak agar lebih keratif dan kritis.

Bagi melahirkan kanak-kanak yang pintar, bijak dan kreatif, guru-guru juga haruslah berfikiran kreatif dan kritis dlam menjalankan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dan bijak untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dan positif dalam diri kanak-kanak khususnya kanak-kanak di peringkat tadika.

Nilai  ketiga  yang  dapat  diterapkan  kepada  kanak-kanak  melalui  cerita  yang  ditonton  daripada  televisyen  ialah  nilai  hormat-menghormati.  Nilai  ini  terpampang  jelas  dalam  kartun  bersiri  Upin  dan  Ipin.  Watak  utama  itu  sendiri,  si  kembar  Upin  dan  Ipin  amat  menghormati  nenek  mereka  yang  sudah  tua.  Mereka  tidak  berani  untuk  menyakiti  hati  nenek  mereka  itu,  sebaliknya  mereka  sering  membawa  keceriaan  dan  kegembiraan  kepada  nenek  mereka  dalam  menjalani  kehidupan  seharian.  Nilai  yang  ada  dalam  watak  Upin  dan  Ipin  ini  amat  patut  dicontohi  kanak-kanak  kini  kerana  salah  satu  nilai  dalam  cerita  inilah  yang  akan  menentukan  bagaimanakah  rupa  corak  keperibadian  kanak-kanak  ini  apabila  sudah  dewasa  kelak. 

Dalam  situasi  ini,  ibu  bapa  turut  berperanan  penting  dalam  menerapkan  nilai  hormat-menghormati  dalam  diri  anak-anak  mereka  sedari  kecil  selain  melalui  tontonan  tv.  Ibu  bapa  perlu  berusaha  dan  istiqamah  agar  berjaya  melahirkan  anak-anak  yang  mempunyai  sikap  hormat  dalam  diri mereka.  apatah  lagi  dalam  dunia  canggih  kini,  melalui  tontonan  tv  sahaja  telah  banyak  mempengaruhi  sikap  atau  kelakuan  kanak-kanak  sama  ada  membentuk  kelakuan  yang  baik   atau  sebaliknya. 

Namun  begitu,  melalui  watak  Upin  dan  Ipin  ini,  kelakuan  yang  baik  dapat  dilahirkan  dalam  diri  kanak-kanak.  Watak  Upin  dan  Ipin  yang  bersekolah  di  tadika  juga  menunjukkan  sikap  hormat  mereka  terhadap  guru  di  sekolah.  Segala  arahan  guru  mereka  patuhi  tanpa  sebarang  bantahan  kerana  mereka  tahu  bahawa  gurulah  contoh  atau  ‘role  model’  yang  terbaik  untuk  mereka  contohi. 

Oleh  itu,  segala   percakapan  atau  ujaran  yang  dikeluarkan  oleh  guru  tadi  dipatuhi  tanpa  alasan,  yang  akhirnya  menandakan  bahawa  sikap  hormat-menghormati  itu  sudah  ada  dalam  diri  mereka.  Sikap  sebegini  amat  patut  dicontohi  oleh  kanak-kanak  ditambah  lagi  bagi  kanak-kanak  yang  sememangnya  bersekolah  di  tadika  ataupun  yang  berada  pada  peringkat  prasekolah.

Nilai  hormat-menghormati  dalam  watak  Upin  dan  Ipin  kepada  guru  tadikanya  dapat  ditunjukkan  dalam  babak  di  mana  si  guru  menyuruh  murid-muridnya  membawa  koleh  atau  bekas  untuk  aktiviti  memberus  gigi  di  tadika.  Bagi  kanak-kanak  seusia  Upin  dan  Ipin,  agak  sukar  bagi mereka  untuk  membawa  atau  menyediakan  bekas  bagi  memenuhi  permintaan  gurunya  itu  tadi. 

Namun  begitu,  akibat  adanya  rasa  hormat  yang  mendalam  dalam  diri  Upin  dan  Ipin  tadi,  maka  mereka  mencari  sedaya  upaya  bekas  yang  diinginkan  oleh  guru  mereka  untuk  aktiviti  memberus  gigi  di  sekolah.  Babak  inilah  yang  menunujukkan  bahawa  nilai  hormat  itu  tadi  wujud  dalam  kartun  Upin  dan  Ipin  yang  patut  diserapkan  dalam  diri  kanak-kanak  di  tadika.  Selain  itu,  watak  utama  Upin  dan  Ipin  juga  amat  menghormati  saudara  perempuan  mereka,  iaitu  Kak  Ros.  Walaupun  kakak  mereka  ini  garang  dan  sering  memarahi  mereka,  namun  Upin  dan  Ipin  tetap  menghormatinya  kerana  dia  tetap  saudara  kandung  si  Upin  dan  Ipin.
 
Walaupun  Kak  Ros  ini  selalu  menengking  mereka, tetapi  Upin  dan  Ipin  tidak  pernah  menunjukkan  rasa  tidak  hormat  atau  tidak  ada  adab  apabila  berkomunikasi  dengan  kakak  mereka  ini.  Nilai  ini  amat  patut  dicontohi  oleh  kanak-kanak  kini,  ditambah  lagi  apabila  pengaruh  rakan  yang  amat  kuat  sedikit  sebanyak  menyebabkan  rasa  hormat  dalam  diri  kanak-kanak  semakin  terhakis.  Hal  ini  disebabkan  oleh  kanak-kanak  amat  mudah  terpengaruh    dengan  perlakuan  yang  kurang  sopan,  seterusnya  boleh  mendatangkan  kemarahan  kepada  orang  yang  lebih  tua  daripada  mereka  apabila  berada  di  rumah  nanti. 

Oleh  itu,  nilai  hormat-menghormati  yang  ditonjolkan  dalam  watak  kembar  si  comel  Upin  dan  Ipin  amat  sesuai  dicontohi  dalam  diri  kanak-kanak  agar  rasa  hormat  kepada  ibu-bapa,  adik  beradik,  guru-guru  dan  jiran  tetangga  sentiasa  melekat  dalam  jiwa  kanak-kanak  tadi.  

Nilai  yang  terakhir  yang  dapat  ditonjolkan  daripada  watak  Upin  dan  Ipin,  seterusnya  dapat  diserapkan  dalam  jiwa  kanak-kanak  tadika  ialah  nilai  kesyukuran.  Nilai  ksesyukuran  ini  amat  meluas  maksudnya.  Nilai  ini  boleh  sahaja  terangkum  dalam  kesyukuran  terhadap  nikmat  pemberian  Tuhan,  rasa  berterima  kasih  dan  menerima  seadanya.  Watak  yang  ada  dalam  Upin  dan  Ipin  ini  sebenarnya  sedikit  sebanyak  memberi  kesan  kepada  perlakuan  kanak-kanak  di  tadika  kerana  nilai  kesyukuran  yang  ada  dalam  salah  satu  daripada  watak  Upin  dan  Ipin  telah  menunjukkan  bahawa  watak  ini  memang  patut  dicontohi  oleh  kanak-kanak  di  tadika. 

Sebagai contoh,,  Upin  dan  Ipin sentiasa  bersyukur  dengan  nikmat  pemberian  Tuhan  iaitu  dalam  bentuk  makanan  yang  sederhana  sahaja  hidangannya  dan  tidak  berlebih-lebihan.  Nenek  Upin  dan  Ipin  pula  sentiasa  menasihati  kedua-dua  cucunya  itu  agar  sentiasa  bersyukur  dengan nikmat  pemberian  Tuhan.  Dia  juga  menambah  bahawa  di luar  sana  terdapat  orang  yang  lebih  susah  lagi  kehidupannya  berbanding  kehidupan  mereka sendiri. 

Nilai  kesyukuran  ini  amat  sesuai  pula  dicontohi  oleh  kanak-kanak  zaman  kini  yang  sebenarnya  lebih  besar  cabarannya  apabila  golongan  mereka  ini  lebih  banyak  hidup  bermewah-mewahan.  Kehidupan  mewah  itu  menyebabkan  kanak-kanak  ini  lebih  teruji  apabila  nilai  kesyukuran  itu  masih  lagi  melekat  dalam  diri  mereka  atau  tidak.  Kita  sedia  maklum  bahawa  kartun  bersiri  Upin  dan  Ipin  mempunyai  peminatnya  sendiri  dan  kanak-kanaklah  yang  memonopoli  minat  tersebut.  Oleh  itu,  nilai  murni  yang  ada  dalam  watak  Upin  dan  Ipin  itu  tadi,  iaitu  nilai  kesyukuran  mudah  sahaja  menyerap  masuk  dalam  diri  mereka. 

Kanak-kanak  yang  sebelum  ini  selalu  hidup  bermewah-mewah  akhirnya  mengubah  cara  hidup  mereka  supaya  lebih  bersederhana  akibat  pengaruh  daripada  watak  Upin  dan  Ipin  tadi.  Hal  ini  membuktikan  bahawa  melalui  tontonan  tv,  nilai  murni  mudah  sahaja  meresap  masuk  dalam  jiwa  atau  diri  kanak-kanak.  Apabila  ini  berlaku,  sacara  tidak  langsung  tabiat  buruk  mereka  yang  dibincangkan  sebentar  tadi  dapat  diubah  menjadi  tabiat  yang  terpuji  dan  menyenangkan  ibu  bapa  itu  sendiri. 

Selain  itu,  sikap  yang  suka  berterima  kasih  dapat  diserapkan  dalam  diri  kanak-kanak  melalui  watak  Upin  dan  Ipin  tadi.  Upin  dan  Ipin  sering  mengucapkan  terima  kasih  kepada  sesiapa  sahaja  yang  melakukan  sesuatu  kebaikan  kepada  mereka.  Ucapan  ini  sangat  ringkas  tetapi  mendalam  maknanya.  Masyarakat  umum  boleh  sahaja  menganggap  ucapan  ini  hanyalah  ucapan  yang  remeh,  tetapi  sekali  kita  mengucapkannya, orang  yang  menerima  ucapan  itu  akan  berbungalah  hati  mereka.  Nilai inilah yang ingin kita serapkan dalam diri kanak-kanak. 

Selain  mempunyai  sikap  hormat,  kanak-kanak  juga  amat  menyedapkan  hati  ibu  bapa  apabila  mereka  bijak  dan  terbiasa  menggunakan  ucapan  itu  dalam  kehidupan  seharian  mereka.  Hati  ibu  bapa  mana  yang  tidak  sejuk  apabila  anak  mereka  sudah  pandai  untuk  berterima  kasih kepada  orang  lain  membuat  kebaikan  kepada  mereka.  Apabila  ucapan  in  sudah  melekat  pada  lidah  mereka,  maka  kita  boleh  menyimpulkan bahawa  watak  Upin  dan  Ipin  berjaya  membawa  nilai-nilai  murni  dalam  kalangan  murid-murid  tadika. 

Apabila sikap berterima kasih  diikuti dengan  rasa  kesyukuran  tadi,  maka  ini  melihatkan  bahawa  kanak-kanak  ini  sentiasa  menerima  seadanya  apa  yang  terjadi  atau  diberikan  kepada  mereka.  Mereka  tidak  pernah  merungut,  sebaliknya  sentiasa  bersyukur  dengan  nikmat  yang  mereka  perolehi  tadi.  Nilai-nilai  murni  sebeginilah  yang  patut  ada  dan  diterapkan  kepada  kanak-kanak  sedari  mereka  kecil  lagi  agar  apabila  dewasa  kelak,  mereka  akan  menjadi  belia  yang  baik  akhlaknya  dan  menyenangkan orang  di  sekeliling  mereka.

Kesimpulannya, kaedah bercerita mempunyai kemampuan dan merupakan salah satu cara yang efektif dan berkesan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak. Sebagai contoh, melalui penceritaan antara nilai-nilai yang dapat dijadikan unsur pembentukan peribadi kanak-kanak ialah baik hati, kasih sayang, bersyukur dan hormat menghormati. Hal ini disebabkan, melalui bercerita banyak manfaat yang dapat diambil. Oleh yang demikian, pihak ibu bapa dan guru perlu berganding bahu bersama-sama menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak dengan meluangkan masa untuk berkongsi cerita dengan kanak-kanak. Hal ini bukan sahaja dapat membentuk peribadi kanak-kanak menjadi insan yang berguna tetapi dapat mengeratkan lagi hubungan antara kanak-kanak dan ibu bapa serta kanak-kanak dan para guru.

-Dian Adni-


 
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan