Rabu, Mac 14

BML 1073: Kemahiran Komunikasi


Secara konseptualnya, cerita motivasi ialah cerita yang mempunyai nilai-nilai motivasi yang boleh diguna pakai untuk memotivasikan diri. Individu yang cemerlang dan bermotivasi akan sentiasa merenung setiap cerita, catatan dan pengalaman orang lain tentang kehidupan secara kritis untuk meningkatkan motivasi dirinya dan membantu meningkatkan motivasi orang lain di sekelilingnya. Kita tidak perlu memikirkan sama ada cerita tersebut logik atau pun hanya khayalan semata-mata. Hal ini demikian kerana, perkara yang lebih penting ialah untuk meneroka falsafah-falsafah kehidupan dan pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita tersebut. Terdapat pelbagai medium untuk menyampaikan cerita motivasi iaitu melalui buku, akhbar, televisyen, radio, dan penceritaan orang-orang yang berada di sekeliling kita.

Kesimpulannya, cerita motivasi dapat memberi kesedaran kepada kita sehingga mampu membawa kepada lahirnya nilai motivasi yang sebenar iaitu lahir dari hati dan sanubari kita sendiri. Pelajar juga boleh bergantung kepada faktor luaran untuk memotivasikan dirinya. Namun demikian, perkara yang lebih diutamakan ialah unsur motivasi dalaman sendiri yang akan mendorong kita mencapai sesuatu kejayaan dan kecemerlangan. Dalam erti kata lain, sekiranya seseorang pelajar itu tidak disuruh, dipaksa atau dijanjikan dengan apa-apa ganjaran, pelajar tersebut akan tetap terus belajar dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya mencapai matlamatnya. Keadaan ini yang dinamakan motivasi kendiri yang sejati.

Motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan untuk berjaya dan mencapai sesuatu matlamat. Motivasi juga boleh dikatakan sebagai rancangan untuk kejayaan seseorang atau rangsangan untuk mengelakkan diri daripada kegagalan. Individu yang mempunyai motivasi diri yang tinggi, hal ini bererti individu tersebut telah memperoleh kekuatan dalaman untuk mencapai kejayaan dalam hidup sama ada kejayaan di dunia, akhirat, atau kedua-duanya sekali.

Dalam sesebuah kumpulan pula, motivasi dapat dijadikan penggerak kepada sesuatu kejayaan. Apabila motivasi hadir dalam diri setiap individu yang berada dalam kumpulan tersebut, semangat kerjasama, tolong menolong, toleransi dan bantu-membantu antara satu sama lain akan dapat diwujudkan. (Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip, 2005)

Dalam bidang pendidikan khususnya, motivasi mempunyai peranan yang sangat penting. Guru-guru memerlukan motivasi untuk menggerakkan diri untuk mencapai kualiti kerja yang maksimum. Pada waktu yang sama, guru akan menjadi motivator kepada para pelajar yang akan mendorong mereka untuk berjaya dalam kehidupan mereka. Guru yang mempunyai motivasi diri yang tinggi ialah guru yang dinamik, cekap, dan sentiasa kreatif  serta berusaha untuk memajukan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru yang bermotivasi juga berupaya untuk menjadi nadi penggerak kepada para pelajarnya.

Pelajar yang bermotivasi pula ialah pelajar yang menaruh minat untuk belajar. Pelajar-pelajar tersebut akan memberikan sepenuh pehatian kepada pelajaran mereka. Selain itu, pelajar-pelajar tersebut juga akan mengaktifkan diri sama ada di dalam atau pun luar bilik darjah.

Bukan itu sahaja, mereka akan bersedia untuk menerima arahan dan sentiasa memberikan tindak balas yang positif. Pelajar-pelajar tersebut juga mampu berdikari dan suka memberikan pandangan dan pendapat mereka semasa di dalam bilik darjah. Pelajar-pelajar sedemikian mempunyai motivasi diri yang tinggi dan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang kurikulum tetapi juga kokurikulum. (Saedah Siraj, Zainun Ishak, Tunku Mohani Tunku Mokhtar, 1997).
Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di sekolah dapat dicapai melalui guru dan pelajar yang sentiasa bermotivasi. Motivasi boleh dikategorikan kepada tiga jenis yang penting. Motivasi melibatkan hal-hal yang bersangkut-paut dengan keperluan pelajar, emosi, dan motif.

Motivasi jenis ini biasanya dilihat dari segi keperluan fisiologi dan psikologi. Pelajar dapat dirangsang untuk belajar dengan baik sekiranya keperluan mereka dipenuhi. Sebagai contoh, keperluan makanan merupakan prasyarat yang harus dipenuhi sebelum pelajar melibatkan diri dalam proses pembelajaran. Apabila perut kosong, anggota badan akan lemah dan tentu sekali tidak menggalakkan pembelajaran yang sempurna.

Dari segi aktiviti, pelajar harus melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan seperti bercerita, berlakon, menyanyi, membuat demonstrasi, dan projek. Hal ini secara tidak langsung boleh mendorong pelajar untuk meminati pelajaran tersebut dan mendorong mereka untuk terus belajar. (Kamarudin Haji Husin, 1997)

Seterusnya, dari segi penghargaan kendiri pula, pelajar harus merasakan diri mereka dihargai terutama apabila mereka dapat menunjukkan sesuatu pencapaian atau prestasi yang baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru harus memuji pelajar-pelajarnya untuk semua jenis pencapaian walaupun pencapaian tersebut sangat kecil. Pamerkan hasil kerja mereka di dalam kelas, bacakan karangan-karangan terbaik mereka, sediakan ganjaran-ganjaran, dan peneguhan-peneguhan lain yang bermakna. Sekiranya pelajar merasakan diri mereka dihargai, minat mereka untuk terus belajar dapat ditingkatkan dan dikekalkan.

Emosi memainkan peranan yang penting dalam kehidupan pelajar. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, struktur emosi yang ada pada pelajar harus digunakan untuk membangkitkan minat mereka untuk belajar. Pelajar dapat merasakan satu kejayaan apabila mempunyai minat dalam tugasan di sekolah. Interaksi antara guru dengan para pelajar hendaklah baik dan sentiasa memikirkan perhubungan mereka agar berada dalam keadaan harmoni. Dalam banyak hal, guru hendaklah selalu memberikan pandangan-pandangan yang membina dan selalu menyelesaikan masalah mereka dengan alat-alat perlindungan yang berkesan.

Salah satu cara untuk menggerakkan pelajar-pelajar belajar ialah guru boleh menggunakan emosi seronok dan keriangan yang wujud dalam diri mereka. Pelbagai aktiviti boleh dirancangkan bagi mewujudkan proses pembelajaran yang seronok. Sebagai contoh, penggunaan muzik dalam pembelajaran, mengadakan permainan dalam mata pelajaran matematik dan bahasa, dan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.

Motivasi jenis ini menggalakkan seseorang pelajar bertindak ke arah sesuatu motif yang disedari. Dalam pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan didorong untuk belajar bagi mencapai motif tertentu sama ada dalam bentuk matlamat, objektif, insentif, ganjaran, minat, rasa ingin tahu, dan sistem nilai.

Dari segi matlamat dan objektif, guru boleh menyatakan faedah yang akan diperoleh hasil daripada sesuatu pembelajaran. Dalam konteks yang lebih luas, guru mungkin boleh mengaitkan topik-topik pembelajaran dengan jenis pekerjaan yang diminati oleh pelajar. Dalam hal insentif, guru boleh menyatakan markah atau gred yang akan diperoleh. Bahagikan kelas kepada beberapa kumpulan, menyediakan hadiah, berikan penghargaan, pujian dan sebagainya. Semua ini dapat menggerakkan pelajar ke arah minat yang tinggi dalam sesuatu pembelajaran.

Motivasi mempunyai kaitan dengan pembangkitan minat. Hal ini disebabkan, motivasi merupakan asas kepada pengajaran dan pembelajaran. Seorang guru yang cekap akan sentiasa berhati-hati mencari rangsangan yang dapat menimbulkan perasaan puas dan menarik supaya minat pelajar-pelajar dapat dikekalkan selama yang diperlukan untuk menguasai idea atau isi pelajaran yang disampaikan. Pendekatan, kaedah, dan teknik, bantuan alat-alat mengajar adalah antara bahagian yang lengkap dalam prosedur pembelajaran dan kerap kali menjadi bentuk motivasi yang paling berkesan. (Kamarudin Haji Husin, 1997).

Tugas guru adalah untuk mengembangkan minat pelajar-pelajarnya, bukan hanya terhad di dalam bilik darjah tetapi apa yang penting ialah minat tersebut dapat dibangkitkan secara berterusan. Minat mereka harus diarahkan kepada satu matlamat tertentu yang akan membawanya jauh melebihi pengalaman yang digunakan sebagai penggerak atau motivasi ke arah pembelajaran selanjutnya. Dalam pengajaran dan pembelajaran bilik darjah, motivasi harus dapat memberi satu akal yang tersedia terhadap pembelajaran. Oleh itu, motivasi memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. (Sadirman A.M, 2005).

Motivasi dapat menarik minat dan perhatian pelajar untuk menyertai dan melibatkan diri dalam kegiatan mental. Dalam suatu pengajaran dan pembelajaran, guru dapat menarik perhatian pelajar dengan mengarahkan pemikiran mereka kepada sesuatu idea atau menjadikan mereka peka terhadap bunyi, penglihatan, sentuhan dan sebagainya. Kepekaan seseorang terhadap rangsangan-rangsangan yang dikemukakan bergantung kepada banyak faktor seperti, kematangan umur, minat, sikap, kebolehan, dan keupayaan mental, serta kesediaan.

Oleh itu, untuk mewujudkan satu motivasi yang bermakna dan berfaedah, rangsangan-rangsangan yang dipilih hendaklah memenuhi keperluan para pelajar. Gunakan rangsangan tertentu untuk sesuatu situasi. Rangsangan-rangsangan tersebut biarlah dalam bentuk yang luar biasa, menarik, dan memberangsangkan.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi yang berterusan sangat diperlukan. Hal ini demikian kerana, guru dapat membantu para pelajar untuk menumpukan perhatian terhadap bahan-bahan pengajaran sepenuhnya. Perhatian kanak-kanak terhadap sesuatu benda adalah pendek dan mereka cepat berasa jemu jika perhatian mereka tidak diubah dengan segera kepada benda-benda yang lebih menarik.

Oleh sebab itu, guru perlu bertindak secara bijak dengan menyediakan kepelbagaian dalam rangsangan yang akan dikemukakan. Pembelajaran yang berjaya akan menghasilkan sesuatu kejayaan. Hal ini dapat dilakukan dengan cara memberi galakan kepada pelajar-pelajar untuk menumpukan perhatian kepada mata pelajaran yang dibincangkan dan tidak membiarkan fikiran mereka merayau ke arah lain.

Perhatian berubah daripada satu rangsangan kepada satu rangsangan yang lain. Guru harus menggunakan banyak rangsangan dan setiap satunya harus berupaya mendapatkan perhatian pelajar. Penyampaian yang menarik dan memberangsangkan berkemungkinan dapat memusatkan tugas mental pelajar terhadap idea yang sedang dikemukakan.

Motivasi mempunyai nilai persaingan. Hal ini bermaksud pelajar-pelajar akan terdorong untuk belajar dengan lebih kuat apabila wujudnya persaingan-persaingan antara mereka. Dorongan tersebut boleh dilakukan oleh guru. Dalam suatu pengajaran dan pembelajaran, guru dapat membangkitkan keinginan pelajar untuk maju dan mencapai prestasi yang lebih baik melalui pertandingan prestasi atau kebolehan. Mungkin persaingan boleh dibuat dalam bentuk mengatasi rekod sendiri atau bersaing dalam kumpulan.

Dalam situasi bilik darjah, tekanan yang terlalu banyak kepada persaingan dapat menimbulkan kebiasaan yang tidak diingini. Sesetengah pelajar mungkin akan bertindak memilih cara yang tidak adil untuk mengelakkan kekalahan. Mereka mungkin menipu dalam ujian atau bertindak mengganggu pelajar-pelajar lain untuk meminimumkan pencapaian mereka. Hal ini tentulah tidak sihat jika berlaku dalam bilik darjah. Oleh itu, guru-guru hendaklah bijak melaksanakan motivasi supaya tidak disalahtafsirkan.

Guru perlu mengetahui kaedah sesuai yang boleh diguna pakai untuk memupuk motivasi dalam diri para pelajar. Sebagai contoh, guru boleh mengadakan sesi motivasi beberapa minit sebelum guru memulakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dan sesi tersebut sebenarnya sedikit sebanyak akan memberi kesedaran kepada pelajar. Ibu bapa juga perlu memberikan kerjasama dan berganding bahu dengan pihak sekolah untuk memberi dorongan kepada pelajar untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.

Cerita motivasi dan kata-kata hikmah juga boleh diberikan agar pelajar dapat menghayati nilai dan idea motivasi dengan lebih berkesan. Sesi motivasi setiap kali waktu perhimpunan pelajar juga boleh diadakan lebih-lebih lagi dengan adanya kerjasama daripada Kelab Bimbingan dan Kaunseling. Kem ketahanan diri dan seminar motivasi juga boleh dijadikan aktiviti untuk memupuk motivasi dalam kalangan pelajar. Oleh itu, guru yang bermotivasi juga perlu mengetahui prinsip-prinsip sesuai untuk memotivasikan para pelajar. (Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip, 2005).

Langkah tersebut amat penting untuk mempengaruhi motivasi pelajar. Pelajar yang telah berjaya dalam sesuatu kerja selalunya suka menjalankan kerja yang sama jenisnya. Pelajar yang telah gagal pula berasa kecewa dan enggan menjalankan kerja yang serupa. Sememangnya sukar bagi guru untuk menjamin kejayaan semua pelajar di dalam kelas terutama sekali jika di dalam kelas tersebut terdapat perbezaan dalam kebolehan pelajar.

Salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah tersebut ialah dengan mengadakan tugasan yang berasaskan apa yang pelajar tahu. Guru boleh mengajar perkara yang diketahui oleh pelajar sehingga mengajar perkara yang tidak diketahui oleh mereka. Guru juga boleh memastikan bahawa bahagian penting dalam kandungan tiap-tiap aktiviti tersebut ialah pada tahap yang boleh diselenggarakan oleh pelajar yang kurang berkebolehan. Hanya sebahagian kecil sahaja pada tahap yang dapat menguji kebolehan pelajar yang berkebolehan. Dengan cara ini kadar kejayaan yang tinggi adalah terjamin dan motivasi pelajar dapat ditingkatkan.

Ada kalanya pelajar yang kurang berkebolehan mengalami kerumitan semasa melaksanakan tugasan mereka kerana mereka kurang berpengetahuan tentang konsep dan kemahiran asas. Guru dapat mengatasi masalah tersebut melalui beberapa cara iaitu memudahkan perkara yang diajar dan membahagikan pelajarannya kepada langkah-langkah yang lebih mudah. Selain itu, guru juga boleh mengurangkan penggunaan terlalu banyak perkataan dan penyelesaian masalah yang abstrak dalam tugasan. Guru juga harus sentiasa menyemak kerja pelajar dan memberikan mereka pujian. Bukan itu sahaja, guru juga boleh menunjukkan kejayaan mereka, apa yang harus mereka lakukan untuk mengekalkan atau meningkatkan kejayaan mereka. 

Kesimpulannya, pemahaman konsep motivasi dapat memberikan kesan positif bukan sahaja kepada para pelajar, guru, sekolah tetapi juga kepada sistem pendidikan negara. Apabila setiap guru mempunyai tahap motivasi yang tinggi dalam diri, guru tersebut secara tidak langsung mampu memotivasikan pelajarnya dan mendorong para pelajar untuk melakukan perubahan dengan memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan prestasi dan kecemerlangan diri. Secara tidak langsung, keadaan ini juga akan membantu meningkatkan prestasi para pelajar di sekolah seterusnya meningkatkan kualiti sistem pendidikan yang ada.

Di sekolah, nilai motivasi boleh diguna pakai dalam tiga keadaan iaitu motivasi guru dan pengajaran berkesan, motivasi pelajar dalam pembelajaran berkesan, dan motivasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, bagi memupuk nilai motivasi dalam diri setiap pelajar, kerjasama semua pihak amat diperlukan. Bukan hanya pihak sekolah sahaja yang memainkan peranan tetapi semua pihak seperti ibu bapa, keluarga, dan masyarakat.

-Dian Adni-





 
 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan